BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamu'alaikum. Saya ingin bertanya mengenai hukum tajwid di dalam dua kalimah syahadah. Soalan saya:

1. Saya ada membaca bahawa wajib untuk melafazkan kalimah syahadah dengan bertajwid. Tapi ada pula ustaz kata zikir tak perlu bertajwid. Soalan saya, adakah 2 kalimah syahadah wajib dibaca bertajwid?

 

2. Jika dibaca tidak bertajwid, adakah kalimah syahadah kita sah? 

 

3. Saya ada melihat satu video tentang cara bacaan syahadah di dalam youtube. Di tempat wajibal ghunnah dalam sebutan 'anna' dan 'muhammad' perlu dibaca sepanjang 4 harakat (2 harakat untuk wajibal ghunnah dan 2 harakat lagi untuk bunyi asalnya. Tetapi, yang saya baca, wajibal ghunnah dibaca 2 harakat sahaja. Persoalan saya, adakah huruf nun dan mim dalam perkataan 'anna' dan 'muhammad' dalam 2 kalimah syahadah perlu dibaca 2 atau 4 harakat?

Ini merupakan pautan video bacaan 4 harakat tersebut: 

https://youtu.be/S4ymegy8JFA

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Tajwid dari sudut bahasa ialah menjadikan sesuatu itu baik dan elok (lawan kepada buruk). Manakala dari sudut istilah pula ia bermakna memberikan atau meletakkan setiap satu huruf apa yang patut baginya (haknya) dari segi sifat-sifat huruf seperti menyatakan atau menyembunyikan, dan juga apa yang dimestikan baginya dari segi apa yang terhasil daripada sifat-sifat itu seperti tebal, nipis dan sebagainya. 

Merujuk persoalan saudara, mempelajari ilmu tajwid secara mendalam merupakan fardhu kifayah, yakni jika ada sebahagian sudah mempelajarinya, maka gugur kewajipan ke atas mereka yang lain. Namun, mengamalkannya adalah fardu ain, yakni mengucap dua kalimah syahadah dengan bertajwid merupakan wajib bagi mengelakkan dari tersilap ketika membaca yang boleh membawa kepada perubahan lafaz dan makna syahadah.

Hukum melafazkan syahadah tanpa tajwid tidak termasuk di dalam perkara yang boleh membatalkan iman. Lafaz syahadah tetap sah dengan syarat cukup syarat-syarat sah syahadah, iaitu:

  1. Diketahui (faham makna)
  2. Ditasdiqkan (membenarkan) dengan hati
  3. Diikrarkan dengan lidah
  4. Diamalkan dengan anggota/perbuatan

Huruf nun dan mim yang bersabdu dalam perkataan 'anna' dan 'muhammad' dalam 2 kalimah syahadah adalah wajibul ghunnah dan kadar harakatnya adalah 2 harakat, bukan 4 harakat. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 527

message user image