Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1.Bagaimanakah cara mufarraqah ketika solat ?
2.Apa yang perlu dibuat jika imam solat jumaat salah tajwid alfatihah atau lain² kesalahan ketika solat jumaat?
Jawapan
وعليكم ورحمة الله وبركاته السلام
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
1. Mufaraqah imam adalah niat makmum untuk memisahkan diri dari meneruskan solat bersama imam secara berjamaah atas sebab yang diharuskan seperti batalnya solat imam. Cara mufaraqah adalah dengan memutuskan niat mengikut imam (qudwah) dengan meneruskan solat bersendirian.
2. Bacaan surah al-Fatihah merupakan rukun solat dan wajib disempurnakan bacaannya dengan betul bagi memastikan solat yang dilaksanakan sah. Hanya kesalahan yang jelas (lahn al-jali) iaitu kesalahan nyata yang mengubah makna yang menyebabkan solat tidak sah seperti mengubah baris atas kepada baris hadapan pada huruf 'ta' pada perkataan (أَنْعَمْتُ) atau mengurangkan perkataan serta ayat. Adapun kesalahan yang tersembunyi (lahn al-khafi) seperti kesalahan tajwid panjang dan pendek bacaan serta dengung, maka ia tidak membatalkan solat. Oleh itu, tidak diharuskan bagi makmum berniat mufaraqah dari Imam dengan sebab kesalahan tajwid pada bacaan surah al-Fatihah. Namun pihak masjid sewajarnya memastikan imam yang dilantik mampu membaca al-Quran dengan baik.
Sekiranya makmum itu PASTI dan YAKIN bahawa imam melakukan kesalahan bacaan yang jelas (lahn al-jali) atau perbuatan yang jelas membatalkan solat, maka makmum yang berada di belakang imam hendaklah membetulkannya. Jika bacaan imam tidak dapat dibetulkan atau meneruskan solat, maka makmum yang PASTI dan YAKIN tadi hendaklah berniat mufaraqah. Seandainya mufaraqah berlaku pada rakaat pertama, maka makmum tadi perlu menyempurnakan solat Zohor sebanyak 4 rakaat. Sebaliknya jika mufaraqah berlaku pada rakaat kedua, makmum perlu menyempurnakan 2 rakaat solat Jumaat. Ini adalah kerana untuk mendapatkan solat Jumaat, makmum perlu menyempurnakan rakaat pertama bersama imam.
والله أعلم بالصواب