Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah bacaan wirid yang dibaca oleh Rasulullah selepas solat ?
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Berdasarkan hadis yang sabit daripada Rasulullah SAW, terdapat beberapa bentuk zikir yang diamalkan oleh Baginda SAW selepas solat. Antaranya:
1. Beristighfar dengan mengucapkan أستغفر الله sebanyak 3 kali.
Daripada Thauban RA meriwayatkan:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلَاتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلَاثًا وَقَالَ: «اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ» قَالَ الْوَلِيدُ: فَقُلْتُ لِلْأَوْزَاعِيِّ: " كَيْفَ الْاسْتِغْفَارُ؟ قَالَ: تَقُولُ: أَسْتَغْفِرُ اللهَ، أَسْتَغْفِرُ اللهَ
Maksudnya: Apabila Rasulullah SAW selesai menunaikan solat, Baginda beristighfar sebanyak tiga kali dan mengucapkan: «اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ» . Lalu Al-Walid bertanya kepada Al-Awza'i: Bagaimanakah istighfar itu? Dia berkata: Engkau menyebutkan astaghfirullah, astaghfirullah (aku mohon keampunan daripada Allah, aku mohon keampunan daripada Allah). (Riwayat Muslim)
2. Selain itu, riwayat daripada Rawwad RA bahawa ِAl-Mughirah RA telah menulis kepada Muawiyyah ibn Abi Sufiyan RA:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ إِذَا سَلَّمَ: «لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ، وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلاَ مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الجَدِّ مِنْكَ الجَدُّ»
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW selepas selesai daripada memberi salam (mengakhiri solat), Baginda menyebut: Tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah dan tiada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya jua kerajaan-Nya, segala puji-pujian buat-Nya dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Ya Allah, tidak ada yang boleh menghalang apa yang Engkau kurniakan dan tidak ada pemberi bagi apa yang Engkau halangi. Tidak ada sesuatu pun yang boleh membebaskan seseorang daripada-Mu. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
3. Mengucapkan tasbih (سبحان الله) - 33 kali, tahmid (الحمد لله) - 33 kali dan takbir (الله أكبر) - 34 kali:
Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ka'ab bin 'Ujrah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مُعَقِّباتٌ لَا يَخِيبُ قائِلُهُنَّ أوْ فاعِلُهُنَّ دُبُرَ كُلّ صَلاةٍ مَكْتُوبَةٍ، ثَلاثاً وَثَلاثِينَ تَسْبِيحَةً، وَثَلاثاً وَثَلاثِينَ تَحْمِيدَةً، وأرْبعاً وَثَلاثِينَ تَكْبِيرةً
Maksudnya: Pengiring (zikir) yang tidak merugikan pembacanya atau pelakunya sesudah setiap solat fardu ialah tasbih sebanyak tiga puluh tiga kali, tahmid sebanyak tiga puluh tiga kali dan takbir sebanyak tiga puluh empat kali. (Riwayat Muslim)
Kesimpulannya, zikir yang dinyatakan ini boleh untuk dibacakan kesemuanya sekali gus ataupun berasingan. Berkenaan bentuk zikir yang lain, tuan boleh merujuk beberapa kitab berkaitan hal ini, dan yang masyhur ialah kitab al-Azkar karya Imam al-Nawawi. Malah kitab ini sudah ada terjemahannya dalam bahasa Melayu.
والله أعلم بالصواب