Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Saya ada persoalan berkaitan dengan hukum tukar nama tuan tanah. Sebagai contoh, tanah yang kami duduki sekarang ini adalah hibah pemberian seorang adik kepada abangnya. Tanah ini dah ditukarkan namanya kepada bapa saya. Dan bapa saya ingin hibahkan tanah ini kepada saya tanpa pengetahuan si adik (si pemberi/tuan tanah asal) . Adakah pemberian ini dikira sah dari segi hukum islam?
Selain itu, akah perbuatan hibah memerlukan persetujuan daripada ahli waris yang lain cth: abang atau kakak? Sebagai contoh, seorang bapa telah hibahkan tanah kepada salah seorang anaknya tanpa pengetahuan ahli keluarga yang lain. Kemudian, ada antara ahli keluarga yang tidak bersetuju dengan hibah yang dilakukan itu. Bagaimana hukumnya ustaz. Mohon penjelasan. Terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Dari sudut syarak, hibah merupakan suatu akad yang tujuannya adalah memberikan hak milik suatu harta daripada tuannya (pemiliknya) kepada pihak lain semasa hidupnya tanpa apa-apa balasan atau ganti. Dari segi hukum, hibah merupakan amalan sunat yang digalakkan Islam terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 177:
وَءَاتَى ٱلۡمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِی ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡیَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِینَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِیلِ
Maksudnya: Dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan.
Berdasarkan kepada pertanyaan tuan, soalan pertama sememangnya jelas hibah telah berlaku dengan secara rasminya apabila nama dalam geran tanah telah bertukar pemilik baru iaitu bapa tuan. Sekiranya bapa tuan ingin melaksanakan hibah kepada tuan ia tidak memerlukan sebarang pemakluman mahupun persetujuan pemilik asal tanah tersebut dan hibah tersebuh sah sekiranya menepati syarat-syarat hibah.
Bagi soalan kedua, seorang bapa tidak perlu mendapat persetujuan daripada anak-anak yang lain sekiranya ingin membuat hibah kepada salah seorang anaknya dengan syarat hibah tersebut berkuatkuasa semasa bapa tersebut masih hidup. Sebaiknya setiap pernyataan hibah itu dilaksanakan secara tertib iaitu sama ada diperakui dengan saksi hidup atau diperakui dengan secara bertulis. Walaupun ianya bukan syarat sah atau wajib bagi hibah tetapi ia sebagai medium pembuktian bahawa hibah telah dilaksanakan supaya tiada pertikaian dan pertelingkahan antara waris. Sekiranya berlaku pertikaian, seharusnya ia diselesaikan dengan baik sama ada sesama keluarga ataupun mahkamah. Bagi mendapatkan maklumat yang lebih menyeluruh berkaitan pembahagian harta sama ada secara faraidh, wasiat mahupun hibah, Majlis Agama Islam negeri-negeri ada menyediakan perkhidmatan konsultasi dan pelaksanaan pembahagian harta.
والله أعلم بالصواب