BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Saya ada berniat Nazar utk memberikan sejumlah wang kepada masjid dikampung saya sekiranya hajat saya tercapai... Alhamdulillah hajat itu akhirnya tercapai...persoalannya bolehkan saya membayar secara sedikit demi sedikit dengan mengisi tabung sehingga mencapai jumlah yg saya nazarkan

 

Sekian terima kasih

Segala perhatian dan kerjasama pihak tuan saya ucapkan jutaan terima kasih

Semoga Allah SWT membalas segala kebaikan Tuan/Puan

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Nazar dari sudut syarak bermaksud: Beriltizam dengan amalan mendekatkan diri dengan Allah, yang tidak ditentukan oleh syarak, sama ada secara mutlak, atau digantung dengan sesuatu.

Contoh nazar mutlak ialah seseorang berkata: "Aku wajibkan diriku berpuasa lima hari". Manakala, nazar muallaq, atau digantung dengan sesuatu, seperti seseorang berkata: “Aku wajibkan atas diriku jika aku dapat anak, untuk berpuasa lima hari”.

Adapun berkaitan dengan tempoh atau cara nazar itu ditunaikan, para ulama menyebut :

a) Sekiranya nazar itu ditentukan waktu pelaksanaannya dengan waktu tertentu, maka wajib dilaksanakan pada waktu yang dikaitkan. Jika dia melewatkan pelaksanaan nazar daripada waktu itu tanpa keuzuran, maka dia berdosa dan wajib dia mengqadhakannya, sekiranya dia melewatkannya kerana suatu keuzuran maka tidak berdosa, dan wajib ke atasnya untuk mengqadhakannya apabila ada peluang untuk melaksanakannya.

b) Adapun jika nazar itu nazar mutlak, yang tidak diikat dengan waktu, maka pelaksanaan nazar itu adalah satu kewajipan yang luas waktu perlaksanaannya, dan diharuskan ke atas orang yang bernazar untuk melewatkan pelaksanaannya selama mana ada peluang untuk melaksanakannya dan apabila kuat pada sangkaannya bahawa dia boleh untuk menunaikan nazarnya. Akan tetapi disunatkan untuk mempercepatkan pelaksanaan nazar serta bersegera melepaskan diri daripada tanggungjawab (dzimmah) nazar.  

Oleh yang demikian, sekiranya dalam nazar tuan tidak menyebut untuk memberikan wang kepada masjid itu secara sekaligus, maka ia tidak mengikat tuan untuk menunaikannya secara sekaligus, maka tuan boleh membayar secara sedikit demi sedikit dengan mengisi tabung sehingga mencapai jumlah yang tuan nazarkan itu cukup sepenuhnya.

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 132

message user image