BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Saya ada kemusykilan, mak saya ada dua (2) nama. Nama yang didaftarkan untuk zaman persekolahan sehingga kini adalah nama kakak beliau (telah meninggal dunia dari kecil). Satu (1) lagi nama adalah pada sijil lahir semasa mak saya dilahirkan. Mengikut keterangan dari mak saya, arwah ibu dan ayahnya tersilap menggunakan nama kakak beliau yang telah tiada semasa proses pendaftaran sekolah ketika waktu itu dan sehingga kini.

Persoalannya, nama yang mana sepatutnya saya gunakan bagi mewakili mak saya untuk membuat amal jariah kepada mak saya. Mohon pencerahan.

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, kedua-dua nama tersebut boleh digunakan kerana hajat puan melakukan amal jariah untuk emak puan tetap sampai sebagaimana yang diniatkan. Ini adalah kerana kedua-duanya merujuk kepada orang yang sama, iaitu emak puan. Amal ibadah dikira berdasarkan kepada apa yang kita niatkan. Hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khattab RA, katanya dia mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إنما الأعمال بالنيات، وإنما لكل امرىء ما نوى

Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat. Sesungguhnya balasan bagi orang itu mengikut apa yang diniatkannya. (Riwayat Al-Bukhari) 

Namun sekiranya puan memerlukan bukti seperti resit atau dokumen ke atas amaun yang dijariahkan, bolehlah menggunakan nama mak yang didaftarkan pada sijil lahirnya, kerana itu adalah dokumen rasmi diri individu yang diperakui oleh undang-undang.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 167

message user image