BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamu'alaikum. Saya ingin bertanya mengenai sertu. 

 

Sebulan yang lalu, saya terpijak satu kesan tapak kaki. Masa itu tapak kasut saya berlumpur disebabkan baru lepas hiking. Saya cuba cari dalam internet contoh tapak kaki anjing dan bekas tapak kaki yang saya tengok itu menyerupai contoh gambar tersebut dan menyebabkan saya agak yakin yang ianya datang daripada anjing.

Persoalan saya: 

1. Adakah saya perlu sertu tapak kasut saya?

2. Saya tidak perasan sama ada hanya tapak kasut sahaja ataupun ada bahagian atas pada kasut itu terkena juga kesan tapak kaki itu (disebabkan oleh semasa saya pakai, bahagian kain kasut itu sedikit senget ke bawah ke tanah). Adakah saya perlu sertu?

3. Saya telah menyentuh tapak kasut saya tersebut untuk diletakkan di dalam plastik, bersama dengan kasut yang lain. Sekiranya saya perlu sertu, bagaimana pula dengan kasut dan tangan saya? Kasut2 tersebut masih lagi berada di dalam plastik tersebut. 

4. Sekiranya saya perlu sertu,  bagaimana caranya? Saya risau sekiranya saya menyentuh kasut tersebut, tangan saya dan tempat basuhan pula perlu disertu. 

 

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, bau, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. Sekiranya semata-mata memijak kesan tapak kaki binatang maka tidaklah perlu untuk menyiasat lebih terperinci binatang jenis apa dan sebagainya. Memijak tapak kaki anjing di atas tanah tidak menjadikan tapak kasut kita menjadi bernajis. Ini adalah kerana tanah itu pada asasnya bersifat menyucikan.  

1) Sekiranya yakin terdapatnya najis anjing tersebut semasa memijak dengan kasut pada kesan tapak kaki yang dikatakan kesan tapak kaki anjing, maka perlu disucikan dengan cara disertu tempat yang terkena najis. Namun, jika sekadar andaian maka ia tidak perlu disertu. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah menyatakan: 

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya: Hukum asal segala sesuatu adalah suci". Ini kerana pada asalnya, hukum sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan dihadiri salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqh yang lain juga ada menyatakan bahawa:

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja.

Bagi persoalan ke-2, ke-3 dan ke-4:

Tidak perlu sertu jika tidak DIYAKINI terdapatnya najis pada kasut tersebut. Ini kerana hanya disyaki sahaja kerana bukan sesuatu benar-benar pasti tanpa melihat dengan mata kepala sendiri ain najis anjing. Oleh yang  demikian, hendaklah meninggalkan perasaan syak-wasangka tersebut tanpa perlu menyertu. Sesungguhnya Allah SWT tidak memberatkan seseorang hambaNya daripada syariat yang telah ditetapkan oleh-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 78:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya:  DIA tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

Hanya sekiranya DIYAKINI terdapat najis pada kasut tersebut berdasarkan kepada ain, bau, warna dan juga rasanya, maka ia perlu dibersihkan terlebih dahulu najisnya dan disucikan mengikut kaedah syarak iaitu membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya adalah dengan campuran tanah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 371

message user image