BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum...saya ada beberapa soalan yang saya agak malu nak tanya...macam ni bulan lepas saya ada datang bulan Dan kebetulan semasa tempoh datang bulan tersebut ada pilihan raya Dan saya merupakan salah seorang pengundi yang layak untuk mengundi buat Kali pertama...beberapa hari selepas selesai mengundi haid saya sudah berhenti dan boleh mandi wajib tetapi pada masa itu saya berasa ragu-ragu untuk mandi wajib disebabkan oleh dakwat undi yang ada pada jari saya yang saya fikir mungkin akan menyebabkan mandi wajib saya tak sah...jadi saya pun tunda niat saya untuk mandi wajib....tunda punya tunda sampai la semalam saya nak mandi wajib sebab saya rasa dah terlalu lama saya tunda tapi malangnya haid saya sudah datang lagi....Jadi soalan saya :

1. Adakah saya perlu mandi wajib 2 Kali untuk menggantikan mandi wajib yang saya tertinggal sebelum ini?

2. Sekiranya saya perlu mandi wajib 2 Kali, adakah niat mandi wajib juga perlu dibaca 2 Kali atau hanya perlu baca niat sekali sahaja seperti mandi wajib yang biasa?

Sekian terima kasih..

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Merujuk soalan puan,

Berkenaan dengan dakwat undi yang ada pada tangan puan,

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Ogos 2007 telah membincangkan hukum penggunaan Indelible Ink dalam pilihanraya Malaysia dan telah memutuskan:

“bahawa berdasarkan penjelasan dan hasil ujikaji yang telah diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang kimia serta hujah-hujah dan pandangan ahli-ahli Jawatankuasa bahawa Indelible Ink tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak mendatangkan mudharat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan. Oleh itu penggunaan Indelible Ink adalah dibenarkan oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada ibadah umat Islam. Walau bagaimanapun, keputusan Jawatankuasa terhadap kandungan dan tahap ketelapan Indelible Ink ini hanya tertakluk kepada bahan yang sama dengan yang telah diuji oleh pakar-pakar berkenaan sahaja..”

Oleh yang demikian, dakwat tersebut tidaklah membatalkan ibadah dan tidaklah juga menghalang dari melakukan perkara-perkara yang telah disyariatkan dalam Islam. Seharusnya pada ketika itu, bersegeralah mandi wajib. Perkara mandi wajib ini tidak boleh dilambat-lambatkan kerana ianya akan melibatkan ibadah wajib yang mesti dilaksanakan.

Menjawab persoalan puan, apabila sudah berhentinya darah haid tersebut maka hendaklah terus melakukan mandi wajib sebanyak satu kali sahaja. Niat mandi wajib juga perlu dibaca sebanyak satu kali sahaja. Sekiranya dalam tempoh menunggu itu puan meninggalkan kewajipan solat, maka ia wajib diqada'. Bertaubatlah kepada Allah SWT atas kesilapan yang telah dilakukan.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 222:

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلْمُتَطَهِّرِينَ 

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 170

message user image