BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : JENAYAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum,persoalan saya apakah tangungjawab ayah pada anak yamg bukan darah daging si ayah.. si ibu telah berzina dengan lelaki lain. Dan melahirkan anak hasil dari perzinaan tersebut, anak yang lahir di bin/binti kan pada si suami?

Soalan pertama :Apakah tangungjawab si suami pada anak hasil zina isteri dgn lelaki lain?

Soalan kedua : apakah si ayah bolah amik tindakan pada si ibu ?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA berkata:

كَانَ عُتْبَةُ بْنُ أَبِي وَقَّاصٍ، عَهِدَ إِلَى أَخِيهِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ أَنَّ ابْنَ وَلِيدَةِ زَمْعَةَ مِنِّي فَاقْبِضْهُ، قَالَتْ: فَلَمَّا كَانَ عَامَ الفَتْحِ أَخَذَهُ سَعْدُ بْنُ أَبِي وَقَّاصٍ وَقَالَ: ابْنُ أَخِي قَدْ عَهِدَ إِلَيَّ فِيهِ، فَقَامَ عَبْدُ بْنُ زَمْعَةَ، فَقَالَ: أَخِي، وَابْنُ وَلِيدَةِ أَبِي، وُلِدَ عَلَى فِرَاشِهِ، فَتَسَاوَقَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ سَعْدٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ابْنُ أَخِي كَانَ قَدْ عَهِدَ إِلَيَّ فِيهِ، فَقَالَ عَبْدُ بْنُ زَمْعَةَ: أَخِي، وَابْنُ وَلِيدَةِ أَبِي، وُلِدَ عَلَى فِرَاشِهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هُوَ لَكَ يَا عَبْدُ بْنَ زَمْعَةَ»، ثُمَّ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ»

Maksudnya: Sesungguhnya ‘Utbah bin Abi Waqas telah berjanji kepada saudaranya Sa’ad bin Abi Waqas bahawa: “Anak lelaki yang dilahirkan oleh budak perempuan (hamba) Zam’ah adalah dariku, maka ambillah dia”. Ketika tahun pembukaan kota Makkah, Sa’ad mengambilnya. Sa’ad berkata: “Dia adalah anak saudaraku sebagaimana yang telah dijanjikan kepadaku terhadapnya”. Maka ‘Abdu bin Zam’ah berdiri seraya berkata: “(Dia adalah) Saudaraku, dan anak dari budak perempuan (hamba) bapakku dilahirkan di atas tempat tidurnya (dilahirkan dari hasil pernikahan yang sah). Maka keduanya mengadukan perkara itu kepada Rasulullah SAW. Sa’ad berkata: “Wahai Rasulullah, dia adalah anak dari saudaraku yang telah dijanjikan kepadaku terhadapnya”. Kemudian ‘Abdu bin Zam’ah berkata: “Saudaraku, dan anak dari budak perempuan (hamba) bapakku”. Maka Rasulullah SAW bersabda:

“Dia itu menjadi milikmu wahai ‘Abdu bin Zam’ah”. Kemudian Baginda bersabda lagi: “Anak itu milik suami (yang menikah dengan sah) sedangkan untuk penzina baginya adalah batu (dirajam) “.

Berdasarkan kepada hadis tersebut, pada asasnya bayi yang lahir dari seorang isteri adalah milik (dinasabkan dan dibinkan kepada) suami dan bertanggungjawab terhadapnya sebagai anak yang sah, walaupun isteri tersebut melakukan perzina dengan lelaki lain. 

Seandainya suami meyakini bahawa anak yang dilahirkan adalah hasil dari hubungan zina isteri dengan lelaki lain, maka untuk menafikan nasab anak tersebut daripadanya, suami perlu melakukan li’an seandainya tidak ada saksi yang boleh mensabitkan tuduhan tersebut. Ini adalah kerana menafikan anak yang dilahirkan oleh seorang isteri secara tidak langsung menuduh isteri melakukan perzinaan. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Nur ayat 6-9:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُمْ شُهَدَاءُ إِلَّا أَنْفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ (6) وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَيْهِ إِنْ كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ (7)

Maknanya: Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.

(9)وَيَدْرَأُ عَنْهَا الْعَذَابَ أَنْ تَشْهَدَ أَرْبَعَ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ إِنَّهُ لَمِنَ الْكَاذِبِينَ (8) وَالْخَامِسَةَ أَنَّ غَضَبَ اللَّهِ عَلَيْهَا إِنْ كَانَ مِنَ الصَّادِقِينَ

Maknanya: Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar.

Walau bagaimanapun, perkara tersebut hendaklah dilakukan di hadapan Hakim Syar’i di Mahkamah Syariah. Seandainya li’an berlaku dengan sempurna, maka hubungan suami isteri akan terpisah dan mereka tidak boleh berkahwin semula hingga bila-bila. Begitu juga di dalam menentukan nasab anak tersebut, dibinkan / dibintikan kepada suami atau tidak, ia bergantung kepada ketetapan yang diputuskan oleh pihak Mahkamah Syariah.

Seandainya pihak Mahkamah Syariah memutuskan bahawa anak tersebut tidak dinasabkan kepada suami, maka dalam hal ini, si suami tidak diwajibkan untuk menafkahi anak tersebut. Malah antara suami dan anak tak sah taraf tersebut juga tidak dapat saling mewarisi. Walau bagaimanapun, si suami tersebut masih boleh menafkahi kepada anak tersebut atas dasar ihsan. Kewajipan memberi nafkah kepada anak tersebut terletak di atas tanggungjawab ibunya. Ini adalah kerana nasab/keturunan anak kepada ibu sabit secara sah dari segi syarak dengan sebab ibu melahirkan anak tersebut. 

Bagi soalan yang kedua, perkara tersebut perlu dibawa kepada pihak Mahkamah Syariah, kerana ia melibatkan pertuduhan melakukan jenayah iaitu perzinaan dan ia perlu dibicarakan.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 190

message user image