Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, hobi mencari barang2 lama tersembunyi seperti di pantai yg menggunakan alatan metal detector adakah dikira mencuri? Bolehkah barangan itu dijual & dimakan/gunakan hasilnya? T.kasih ustaz atas pencerahan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتهالحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعدSemoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan. Perihal berkenaan barang jumpaan menggunakan metal detector adalah termasuk dalam perbahasan luqatah iaitu harta yang ditemui di suatu kawasan yang tidak dimiliki, tidak dijaga, dan penemu tidak mengenali pemiliknya. Hal ini berdasarkan kepada hadis daripada Zaid bin Khalid RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا، ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً، فإنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا، وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ، فإنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فأدِّهَا إلَيْهِMaksudnya: Kenalilah ikatan atau bungkusannya, kemudian umumkan selama setahun, jika kamu tidak kenali pemiliknya, gunalah ia dan jadikan nilainya sebagai simpanan kamu. Jika pemiliknya datang menuntutnya pada bila-bila masa, hendaklah kamu serahkan kepadanya. (Riwayat Muslim) Justeru itu, mana-mana orang Islam yang menemui harta atau wang luqatah boleh menyerahkan harta yang dijumpai ke Ibu Pejabat MAIS atau Baitulmal Daerah di Pejabat Agama Islam Daerah yang terdekat. Antara harta-harta luqatah yang diterima adalah wang tunai, barang kemas, peralatan komunikasi, perhiasan diri dan lain-lain barang yang bernilai. Perkara ini juga telah difatwakan perbahasannya pada 31 Mac 2011. Sila rujuk https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-tahunan/pewartaan/2010-2016/206-hukum-perlaksanaan-pengurusan-dan-pelupusan-harta-luqatah-yang-disimpan-oleh-majlis-agama-islam-selangor Seandainya penemu bekeperluan untuk memanfaatkan harta yang ditemui, dia perlu mengumumkan, mengiklankan atau mewar-warkan harta tersebut di tempat yang mungkin boleh diketahui oleh pemiliknya seperti di tempat di mana harta itu dijumpai atau di media sosial dan menunggu sehingga setahun. Apabila tempoh setahun berlalu, maka penemu boleh memanfaatkan harta tersebut dengan jaminan (sebagai hutang) sekiranya pemilik tersebut dijumpai dan menuntut harta tersebut, maka wajib memulangkan harta tersebut atau nilai yang diperolehi (jika telah dijual). |
والله أعلم بالصواب |