BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz. 

Situasi, Saya akan bermusafir ke jepun atas urusan kerja. Hari bertolak adalah pada hari ahad malam dlm jam 10pm dan tiba di jepun selepas 6 ke 7 jam perjalanan. Sy akan berada di sana bermula isnin hingga jumaat. Jumaat pagi dalam jam 10am sy akan bergerak balik ke Malaysia dan sampai dalam jam 6 pm.

Soalan sy, bolehkah sy melakukan Solat jama dan qasar sepanjang tempoh musafir saya.

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Rukhsah solat adalah kemudahan atau keringanan yang dibolehkan untuk orang Islam yang bermusafir menunaikan solat secara jamak dan qasar. Hukum mengerjakan solat secara qasar dan jamak adalah harus dan ia membuktikan bahawa umat Islam boleh mengerjakan solat dalam apa jua keadaan selain tidak menyusahkan penganutnya. Seseorang dianggap bermusafir setelah keluar dari kawasan tempat tingggal, sama ada melepasi sempadan kampung, pekan atau bandar. 

Seseorang yang bermusafir diharuskan untuk mengerjakan solat secara jamak dan qasar di sepanjang tempoh perjalanan pergi ke tempat yang dituju dan sepanjang tempoh perjalanan balik semula ke tempat asal. Setibanya seseorang yang bermusafir itu ke tempat yang dituju, dia diharuskan untuk mengerjakan solat secara jamak dan qasar selama tinggal di situ sekiranya berniat untuk tinggal di tempat itu tidak melebihi 3 hari, tidak termasuk hari tiba dan hari keluar dari tempat itu. Seandainya dia  berniat untuk tinggal lebih dari 3 hari, tidak termasuk hari tiba dan hari keluar dari tempat iru, maka dia tidak diharuskan untuk mengerjakan solat secara jamak dan qasar sebaik sahaja tiba di tempat yang dituju.

Untuk perhatian, pertukaran hari baru menurut Islam bermula dengan masuknya waktu Maghrib dan bukan pukul 12.00 tengah malam.

Berdasarkan kenyataan yang diberikan, tuan akan tiba di Jepun pada hari Isnin dan akan bertolak kembali ke Malaysia pada pukul 10 pagi hari Jumaat. Ini bermakna, tuan akan tinggal di Jepun selama 3 hari, tidak termasuk hari tiba dan hari keluar, iaitu hari Selasa, Rabu dan Khamis. Oleh itu, tuan diharuskan untuk mengerjakan solat secara jamak dan qasar sepanjang tempoh tuan tinggal atau berada di Jepun.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 127

message user image