BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Mufti,

Saya hendak bertanya sama ada membaca dan menulis novel romantik dan fiction haram atau di boleh kan? Saya telah membuat beberapa pencarian online mengenai persoalan di atas tapi menemui pendapat yang berbeza. (saya seorang penulis & juga pembaca)

Terima kasih. 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Allah SWT telah  memerintahkan kepada setiap hamba-Nya untuk menjauhi segala pintu-pintu perzinaan sebagai tindakan preventif dari kemungkinan terjadinya perzinaan.  Perkara ini ditekankan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya  dalam surah al-Isra' ayat 32:

وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً

Maksudnya: Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk.

Dalam menjelaskan persoalan ini, perkara pertama yang ingin kami nyatakan bahawa, membaca adalah salah satu budaya untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan maklumat. Secara umum, hukum asal membaca adalah harus namun boleh berubah berdasarkan bahan bacaan yang kita baca. 

Hukum membaca boleh berubah menjadi wajib, sunat, haram atau makruh tertakluk kepada bahan bacaan tersebut. Hukum wajib membaca apabila bahan bacaan tersebut melibatkan pelajaran fardu ain yang wajib dipelajari dan diamalkan. Hukum sunat, membaca  adalah apabila bahan bacaan tersebut boleh menambahkan lagi cinta kita kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Manakala haram pula, adalah apabila bahan bacaan tersebut tidak memberi manfaat dan boleh mendorong kepada perbuatan maksiat. Bagi hukum makruh, ia adalah apabila bahan bacaan tersebut tidak bermanfaat tetapi tidak mendorong kepada perbuatan maksiat.

Kedua, berkaitan hukum mengarang atau menulis novel romantik. Romantik ialah suasana yang penuh dengan kasih sayang, percintaan, keindahan dan kemesraan. Oleh itu, hukumnya adalah harus selagi tidak menyalahi syariat dan tidak mendorong kepada perbuatan maksiat dan boleh membangkitkan hawa nafsu pembaca.

Ketiga, berkaitan mengarang novel fiksyen. Sepertimana yang sedia maklum, bahan fiksyen bererti bahan rekaan sama ada merangkumi bahan bacaan atau lakonan atau sebagainya. Sehubungan itu, hukum mengarang novel secara asasnya adalah harus selagi tidak menyalahi syariat. Bahkan novel juga boleh menjadi salah satu medium dakwah justeru menjadi alternatif bagi bahan bacaan lain yang tidak bermanfaat atau sememangnya menyalahi ajaran
Islam.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 614

message user image