Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah hukum seorang perempuan memotong rambut pendek seperti lelaki atas arahan ibu bapa? Adakah masih haram hukumnya walaupun seseorang itu menutup aurat dengan sempurna dan memendekkan rambut dengan tujuan memudahkan seseorang itu memakai tudung?
Jawapan
Islam mewajibkan ke atas setiap anak supaya mentaati dan berbuat baik kepada ibu bapa selagi mana mereka tidak menyuruh anaknya melakukan perbuatan syirik (menyekutukan Allah) atau melakukan maksiat iaitu perkara yang bertentangan dengan perintah Allah dan larangan-Nya.
Berkenaan hukum wanita memotong rambut pendek dengan tujuan untuk menyerupai lelaki atau mengikut golongan yang buruk akhlak adalah haram, bahkan ia adalah satu dosa besar kerana Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa Allah melaknat golongan wanita yang menyerupai lelaki atau golongan lelaki menyerupai wanita. Daripada Ibn Abbas RA berkata:
Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. (Riwayat al-Bukhari)
Menurut hukum Fiqh, lelaki dilarang menyerupai wanita dari sudut pakaian, perhiasan dan sebagainya yang dikhususkan untuk wanita, begitu juga sebaliknya wanita dilarang menyerupai lelaki dari sudut pakaian dan apa yang dikhususkan untuk lelaki. Jadi, perbuatan ini adalah bertentangan dengan syarak yang mesti ditinggalkan.
Namun begitu, jika seorang wanita memotong rambut pendek bukan bertujuan untuk menyerupai lelaki atau kerana sebab lain yang tidak bertentangan dengan syarak, ia adalah diharuskan sebagaimana riwayat daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman RA katanya:
Maksudnya: Para isteri Nabi SAW menipiskan sedikit rambut di kepala mereka, sehingga menjadi seperti wafrah (iaitu rambut yang tidak melebihi telinga).
Wafrah adalah rambut yang sampai ke cuping telinga, jika rambut sampai ke bahu dipanggil sebagai jummah. Oleh itu, adalah harus bagi wanita untuk memendekkan rambut dengan tujuan untuk memudahkan wanita untuk memakai tudung serta wajib menutup aurat dengan sempurna.