Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya memelihara 6 orang anak yatim piatu dan tinggal di rumah peninggalan ibu bapa mereka. Bolehkan saya makan makanan yang disedekah oleh orang ramai kerana saya yang memasak di rumah tersebut dan sbg sebuah keluarga susah untuk saya mengasing-asingkan makanan sedekah dan barangan dapur yang saya beli. Bagaimana pulak api dan air, sekiranya ibu bapa anak-anak ini ada meninggalkan harta dan bil dibayar dengan menggunakan wang tersebut? Adakah saya dikira makan harta anak-anak yatim piatu apabila saya menggunakan letrik dan air untuk keperluan peribadi?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan; secara asasnya, penjaga anak yatim hanyalah pemegang amanah atau mutawalli yang perlu menahan dirinya daripada memakan harta anak yatim atau mencari helah menggunakan harta yang dipertanggungjawabkan kepada mereka untuk manfaat peribadi. Berdasarkan firman oleh Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 6:
وَلَا تَأۡكُلُوهَآ إِسۡرَافٗا وَبِدَارًا أَن يَكۡبَرُواْۚ وَمَن كَانَ غَنِيّٗا فَلۡيَسۡتَعۡفِفۡۖ وَمَن كَانَ فَقِيرٗا فَلۡيَأۡكُلۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas kepatutan dan (janganlah kamu) tergesa-gesa (membelanjakannya) sebelum mereka dewasa. Barang siapa (di antara pemelihara itu) mampu, maka hendaklah ia menahan diri (dari memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa yang miskin, maka bolehlah ia makan harta itu menurut yang patut.
Namun begitu, jika orang yang menguruskan harta anak yatim itu dari kalangan fakir dan kurang berkemampuan maka penjaga dibolehkan untuk menggunakan dan mengambil sedikit dari harta tersebut untuk kegunaan sekadar yang makruf. Al-Ma’ruf yang dimaksudkan adalah perkara yang menjadi kebiasaan masyarakat setempat iaitu penjaga menggunakan harta anak yatim tadi untuk membeli makanan, membayar bil api dan air dan selainnya bagi pihak anak yatim itu bersekali dengan dirinya dari harta tersebut. Penjaga juga tidak bermewah-mewahan dengan harta anak yatim dan berlebihan dalam menikmati harta mereka dalam bentuk makanan, minuman atau pakaian.
Begitu juga jika terdapat sumbangan orang ramai dalam bentuk duit, makanan dan barang keperluan jika dapat diasingkan untuk kegunaan anak-anak yatim tersebut itu adalah lebih baik. Pastikan sumbangan tersebut juga turut dipantau oleh saudara mara lain terutama apabila ia melibatkan wang perbelanjaan yang digunakan oleh penjaga bagi mengelakkan timbulnya isu di kemudian hari.
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin
والله أعلم بالصواب