Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Macam mana untuk menguruskan jenazah Janin yg baru meninggal...umur 2 bulan ?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد
Berdasarkan kepada soalan tuan, pengurusan janin yang gugur adakah seperti berikut:
1. Jika janin yang gugur itu berusia 6 bulan dan ke atas, walaupun ia lahir atau gugur dalam keadaan ia telah meninggal dunia, maka wajib ia wajib diuruskan seperti kematian orang dewasa, iaitu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan.
2. Jika janin yang gugur itu berusia kurang dari 6 bulan, ketika ia lahir diketahui hayatnya, seperti keluar suara, menangis, lalu meninggal dunia, maka hukumnya sama seperti orang dewasa. Ia wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan, dan dikebumikan.
Sebagaimana hadis daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa Rusulullah SAW bersabda:
«إِذَا اسْتَهَلَّ الصَّبِيُّ صُلِّيَ عَلَيْهِ وَوَرِثَ»
Maksudnya: Jika bayi yang gugur bersuara atau menangis (ketika gugurnya), hendaklah disolatkan ke atasnya dan ia berhak mewarisi. (Riwayat Ibnu Majah)
3. Begitu juga sekiranya janin yang gugur itu bergerak-gerak, atau menggigil, yang menunjukkan tanda hidup, tetapi tidak mengeluarkan suara, maka diambil kira kemungkinan wujudnya kehidupan. Maka janin itu hendaklah dimandikan, disolat, dikafankan dan dikebumikan, atas dasar berhati-hati.
4. Jika janin yang gugur tidak menunjukkan tanda-tanda hidup, maka hendaklah dilihat; jika telah kelihatan bentuk lembaga manusia (biasanya apabila janin telah berusia empat bulan atau lebih dalam kandungan), hendaklah dimandikan, dikafankan dan dikebumikan, TANPA perlu disolatkan.
5. Jika janin belum kelihatan bentuk lembaga manusia (biasanya apabila janin belum berusia empat bulan), maka memadai membasuhnya sahaja (untuk membersihkan dari darah), kemudian dibungkus dengan kain atau sebagainya dan ditanam. Tidak perlu dimandikan atau disolatkan.
Dalam kes tuan, janin yang gugur berusia 2 bulan atau 8 minggu, maka janin tersebut hanya perlu dibasuh dengan tujuan membersihkannya daripada darah atau kotoran, kemudian dibungkus dengan kain, lalu ditanam.
والله أعلم بالصواب