Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya hukum mengambil gambar yang berlatarbelakangkan perayaan krismas. Saya dapati, setiap pada bulan Disember setiap tahun, banyak pusat membeli belah memasang perhiasan seperti pokok krismas yang besar, patung santa klaus, sudut bergambar dan lain2 perhiasan krismas. Ramai pengunjung yang beragama islam mengambil foto untuk tujuan kenangan. Apakah hukum mengambil gambar ini ustaz? Sekian, terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan saudara, menghadiri dan turut serta melakukan upacara perayaan keagamaan bukan Islam adalah dilarang kerana ia melibatkan amalan ritual agama bukan Islam atau menyerupai amalan agama selain Islam sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: Barang siapa menyerupai sesuatu kaum, maka ia termasuk dalam kalangan mereka. (Riwayat Abu Daud)
Walau bagaimanapun, dalam hidup bermasyarakat yang berbilang kaum seperti di negara kita, menghadiri majlis sambutan perayaan orang bukan Islam Islam yang tidak membabitkan upacara keagamaan adalah dibenarkan sekiranya terdapat keperluan seperti melibatkan kaum keluarga yang belum Islam, jiran tetangga bukan Islam atau kepimpinan masyarakat atas dasar menjaga kemaslahatan atau kepentingan dakwah dengan syarat tidak meredhai kekufuran yang mereka lakukan.
Adapun mengambil gambar yang berlatarbelakangkan perayaan keagamaan agama lain tanpa ada keperluan hendaklah dijauhkan bagi mengelakkan daripada terjebak di dalam perkara syubhah.
والله أعلم بالصواب