BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Pada zaman ini, perhiasan merupakan sesuatu yang tidak asing lagi bagi golongan wanita. Namun, ada satu persoalan yang timbul berkenaan dengan kuku palsu dan juga pengilat kuku (nail qutex). Ada golongan yang mengatakan bahawa pemakaian kuku palsu yang berwarna dan juga bercorak adalah diharuskan kerana ianya tidak kekal. Dan ada juga yang mengatakan bahawa pemakaian pengilat kuku (nail qutex) adalah harus ketika tempoh haid kerana pada ketika itu mereka tidak mengangkat hadas. Jadi apakah hukum pemakaian perhiasan tersebut kepada wanita bagi kedua-dua keadaan ini?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, secara asasnya hukum asal bagi seorang wanita mewarnakan kukunya dengan inai adalah harus dan ia juga merupakan sebahagian daripada amalan kecantikan yang dikhususkan kepada wanita sejak zaman dahulu. Namun tidak dapat dinafikan kini terdapat beberapa produk pewarna dan pengilat kuku yang boleh menyerap air dan boleh ditanggalkan dengan mudah. Maka, penggunaan produk-produk atau bahan lain seumpamanya menggantikan inai ini juga harus selagi mana ia tidak memberikan mudarat, bukan daripada bahan yang najis, bahan yang digunakan hendaklah tidak menghalang air ketika berwuduk atau mandi wajib.

Malah, bagi pemakaian kuku palsu juga harus sekiranya  bahan yang digunakan suci, bahan yang digunakan tidak menghalang air sampai ke kulit dan bentuknya tidak terlalu menyerlah dan berlebihan. Walaubagaimana pun keharusan pemakaian kuku palsu ini terhad apabila ada keperluan sahaja seperti melindungi bahagian kulit kuku asal yang tercabut atau tujuan rawatan atau seumpamanya. Sebaliknya, sekiranya pemakaian kuku palsu demi kecantikan tambahan semata-mata, maka perkara itu tidak dibenarkan oleh syarak kerana dikhuatiri termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT.

Maka bagi tujuan bersuci, jika diketahui bahawa bahan pewarna yang digunakan tidak menyerap air, maka wajib bagi mereka untuk menanggalkannya sebelum menyempurnakan wuduk atau mandi janabah bagi mendirikan solat atau seumpamanya. Hal ini kerana, setiap sesuatu yang menghalang air dari sampai ke anggota wuduk, tidak boleh digunakan ketika mengambil wuduk atau mandi wajib. Bahkan kuku termasuk dalam sebahagian anggota tangan wuduk yang wajib dibasuh ketika mengangkat hadas kecil dan hadas besar.

Selain itu, pemakaian kedua-dua jenis perhiasan hendaklah mengambilkira ini tidak terlalu berlebihan atau melampaui batas sehingga boleh menimbulkan fitnah atau menarik perhatian orang lain terutamanya lelaki ajnabi kepadanya. Hal ini kerana berlebihan dalam berhias bagi seseorang perempuan adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja. Begitu juga, seorang wanita itu tidak harus mempamerkan kecantikannya selain daripada suami mereka dan mereka yang dibenarkan oleh syarak sahaja. Al-Quran telah meletakkan batas-batas tersebut, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 21:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 402

message user image