Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalamualaikum ustaz. Apa khabar?, semoga ustaz sentiasa di dalam lindungan allah swt. Saya ingin bertanya beberapa soalan berkenaan dengan anak yatim. Sebelum itu saya terangkan serba sedikit info yang mungkin sedikit sebanyak memberi info tambahan kepada ustaz. Saya dahulu pernah duduk di satu rumah anak yatim, dan ibu saya sekali bekerja di sana sebagai tukang masak. Dan untuk pengetahuan ustaz, ibu saya masih duduk di rumah anak yatim tersebut sehingga sekarang. Disebabkan dia bekerja di situ, tiada warden yang di lantik di situ, ibu saya juga jadi warden dan jugak tukang masa di situ pagi, petang dan malam, pendek kata dia memang tidur di situ.
Saya ada beberapa masalah berhubung perkara di atas, dan saya ingin bertanya kepada ustaz, ini senarai soalan saya di bawah:
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Islam secara konsisten melalui nas al-Quran dan hadis Nabi SAW mewasiatkan agar berbuat kebaikan kepada anak yatim. Ini tidak dapat dinafikan dan jika kita meneliti al-Quran, perkataan al-Yatim disebut sebanyak 23 kali di dalam al-Quran di samping hadis-hadis lain yang menceritakan tentang kelebihan berbuat baik kepada anak yatim.
Sebagaimana terdapat anjuran berbuat baik kepada anak yatim, terdapat juga ancaman yang berat bagi mereka yang menganiayai anak yatim, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Nisaa' ayat 10:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَأۡكُلُونَ أَمۡوَٰلَ ٱلۡيَتَٰمَىٰ ظُلۡمًا إِنَّمَا يَأۡكُلُونَ فِي بُطُونِهِمۡ نَارٗاۖ وَسَيَصۡلَوۡنَ سَعِيرٗا
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).
Meskipun nas Ilahi dan Nabawi melarang memakan harta anak yatim secara batil, di sana terdapat juga petunjuk agar harta anak yatim ini diuruskan dengan baik oleh orang yang diberikan tanggungjawab untuk menguruskannya dan dibolehkan untuk mengambil sedikit dari harta tersebut untuk kegunaan yang makruf. Sebagai contoh, sekiranya orang yang menguruskan harta anak yatim itu dari kalangan fakir, maka boleh diambil upah dari harta tersebut. Ini dibenarkan di dalam Islam sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Al-Nisa' ayat 6:
وَلَا تَأۡكُلُوهَآ إِسۡرَافٗا وَبِدَارًا أَن يَكۡبَرُواْۚ وَمَن كَانَ غَنِيّٗا فَلۡيَسۡتَعۡفِفۡۖ وَمَن كَانَ فَقِيرٗا فَلۡيَأۡكُلۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas kepatutan dan (janganlah kamu) tergesa-gesa (membelanjakannya) sebelum mereka dewasa. Barang siapa (di antara pemelihara itu) mampu, maka hendaklah ia menahan diri (dari memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa yang miskin, maka bolehlah ia makan harta itu dengan cara yang baik.
Yang dimaksudkan dengan “makan harta itu dengan cara yang baik” adalah:
Pertama : mengambilnya sebagai hutang,
Kedua: memakannya sekadar keperluan, tidak berlebih-lebihan,
Ketiga: mengambilnya sama nilai dengan upah (yang umum berlaku) seumpama ia bekerja untuk anak yatim itu.
Keempat: mengambilnya dalam keadaan darurat. Maksudnya, jika pada suatu masa nanti dia mempunyai harta yang cukup, dia akan membayarnya semula, tetapi jika dia tidak mampu, harta yang telah diambilnya itu dikira halal baginya.
Dalam ayat di atas juga Allah SWT menerangkan kepada kita bahawa orang yang menguruskan harta anak yatim atau mutawalli yang kaya agar menahan diri dari menggunakan harta tersebut, adapun bagi mutawalli yang fakir, maka dibolehkan untuk mereka mengambil sedikit dari harta anak yatim tersebut sekadar yang makruf untuk membeli makanan, minuman, pakaian dan untuk kebajikan anak jagaannya itu bersekali dengan dirinya.
Oleh yang demikian, bagi menjawab pertanyaan tuan:
1. Tidur di rumah anak yatim yang pembiayaannya adalah bersumberkan hasil harta anak yatim oleh orang yang bukan mutawalli atau pengurus rumah anak yatim itu tanpa sebab atau alasan yang munasabah dikhuatiri boleh membawa kepada menggunakan harta tersebut bukan dengan cara yang baik, memandangkan mereka bukan ada kaitan dengan pengurusan rumah serta anak yatim tersebut.
2. Untuk majlis tahlil tersebut, sekiranya bahan mentah tersebut dibeli oleh tuan, maka ia tidak menjadi kesalahan. Adapun pengunaan elektrik dan dapur gas itu, maka tuan hendaklah membayar kadar yang sesuai dan dimasukkan bayaran tersebut ke dalam akaun rumah anak yatim tersebut.
3. Berkaitan sumbangan bahan makanan yang ada tarikh luput terlampau banyak di rumah anak yatim, dan semua makanan tersebut selalunya datang dalam kuantiti yang banyak dan mungkin tinggal beberapa hari saja lagi untuk expired, maka ia boleh dijual dan hasil jualan tersebut boleh dimasukkan dalam akaun rumah anak yatim tersebut. Atau kalau mahu disedekahkan juga, maka ia boleh disedekahkan kepada rumah-rumah anak yatim yang lain, agar niat orang yang menyumbang itu kekal dan ganjarannya kekal untuk kemaslahat anak-anak yatim.
والله أعلم بالصواب