Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
Saya mempunyai 1 kemushkilan yang harus saya dapatkan kepastian berkenaan waktu solat di tempat saya.
Tempat tinggal saya adalah dalam daerah Kapar, Selangor iaitu betul - betul sempadan antara Klang dan Jeram. Saya ingin bertanya waktu solat zon mana yg harus saya ikut? kerana telefon saya mengesan lokasi sekarang di Jeram, Malaysia - Klang, SGR tetapi jadual waktu solat yg Zon 2 : Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor. Waktu solat di telefon adalah waktu solat zon 3. Pada tahun 2022 saya telah mempamerkan jadual waktu solat zon 2 di surau tempat saya tinggal.
1) Adakah saya menanggung dosa mempamerkan waktu solat yang berbeza dari lokasi yang dibaca oleh telefon saya?
2) Apakah saya perlu menggunakan Jadual waktu solat Zon 3 atau Jadual waktu solat Zon 2 di tempat tinggal saya?
Mohon pencerahan kerana sy harus mempamerkan jadual waktu solat dia surau tempat sy bekerja pada tahun 2023 dan saya tidak mahu buat silap lagi.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Berdasarkan firman Allah SWT melalui surah al-Nisa ayat ke 103:
ۚ إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
Merujuk kepada persoalan puan, telah dimaklumkan bahawa puan tinggal dalam kawasan Kapar, iaitu di daerah Klang, maka puan perlu menggunakan dan mengikuti takwim waktu solat Zon 3 bagi Daerah Klang dan Kuala Langat. Adalah disarankan sebelum meletakkan takwim waktu solat di surau yang berdekatan dengan rumah puan, sila rujuk terlebih dahulu dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) surau berkenaan bagi menggelakkan keraguan pada masa akan datang seperti azan sebelum masuk waktu yang sebenar.
1. Puan tidak menanggung dosa dengan mempamerkan waktu solat yang berbeza dari lokasi yang dibaca oleh telefon puan. Ini kerana alat gajet seperti telefon bimbit tidak semestinya tepat dan boleh berlaku ralat atas sebab keupayaan peralatan tersebut.
2. Puan hendaklah menggunakan Takwim Waktu Solat Zon 3 bagi Daerah Klang dan Kuala Langat sebab puan berada di dalam kawasan Kapar, daerah Klang.
Sekiranya puan ingin mempamerkan waktu solat di tempat kerja puan, perlu dipastikan terlebih dahulu di mana daerah tempat kerja puan tersebut berada barulah dipamerkan Takwim Waktu Solat sama ada Zon 1 (Daerah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang) atau Zon 2 (Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor) atau Zon 3 (Daerah Klang dan Kuala Langat). Puan boleh merujuk kepada pautan link tersebut bagi mendapatkan Takwim Waktu Solat yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi tahun 2023: https://www.muftiselangor.gov.my/perkhidmatan/takwim-solat-2023m-1444h
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.