Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt. Saya ingin bertanyakan perihal jodoh. Jodoh merupakan antara takdir yang boleh diubah melalui usaha dan doa. Jadi adakah wajar untuk kita mendoakan seseorang itu secara spesifik untuk menjadikan dia sebagai suami atau isteri kita, seolah-olah kita hanya inginkan dia sebagai jodoh kita?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Salah satu ikhtiar yang dianjurkan oleh Islam adalah dengan berdoa serta memohon kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh.
Oleh yang demikian dalam menjawab persoalan saudari, adalah diharuskan untuk kita berdoa memohon kepada Allah SWT agar diberi kemudahan dalam mendapatkan jodoh atau memohon secara spesifik agar orang tertentu dijadikan jodoh kita. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam surah Ghafir ayat 60 yang memerintahkan kita berdoa dan Allah SWT menjanjikan untuk memberikan memperkenankan-Nya:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.
Walaupun ayat ini diutarakan dalam bentuk yang umum, tapi ia merupakan antara dalil yang menyatakan galakan untuk kita senantiasa berdoa dalam apa jua urusan hidup kita di dunia ini. Dalam kita berdoa dan memohon kepada Allah SWT, kita perlu fahami bahawa tidak semua doa akan diperkenanakan Allah SWT sebagaimana yang diminta oleh hamba-hamba-Nya di dunia ini. Sebaliknya Allah SWT akan menyimpan doa itu untuk menjadi pahala yang nantinya akan diberikan ketika hari kiamat. Dan terkadang, Allah SWT perkenankan dengan cara diselamatkan kita dari musibah, yang sesuai dan senilai dengan doa yang diminta itu.
Sebaiknya, mengambil pengajaran daripada doa istiharah yang diajar oleh Rasulullah SAW, berdoalah: seandainya lelaki pilihan itu baik untuk diriku, agamaku, serta kehidupanku maka permudahkanlah dan berkatilah. Seandainya dia tidak baik untuk diriku, agamaku, serta kehidupanku maka jauhkanlah.
والله أعلم بالصواب