Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya mempunyai 2 soalan.
Pertama, pembelian emas dan perak memerlukan akad seperti yang telah diberitahu kepada saya. Jika tidak silap, akad ketika pembayaran selepas menerima emas/perak tersebut atau selepas melakukan pembayaran dan penjual menjadi wakil. Soalan saya, bagaimana jika pembelian dilakukan melaui platform atas talian yang dikendalikan oleh warga bukan islam sama ada institusi kerajaan seperti perth mint atau swasta seperti bullion now dimana penghantaran mengambil masa yang lama dan hanya menggunakan fungsi chat sebagai saluran pertanyaan dan jika kita melakukan akad di situ kemungkinan tidak dilayan atau membuat mereka bingung. Sesetengah platform tidak mempunyai fungsi chat dan panggilan telefon tidak dilayan, bagaimana pula untuk keadaan tersebut?.
Kedua, maklum sebagai lelaki, diharamkan memakai emas dan sutera. Sebagai peminat jam dan fountain pen, terdapat pen dan jam yang mengandungi emas. Bagi pen, dibahagian mata pen(nib), bahagian klip(klip ke poket) dan perhiasan pada badan pen. Bagi jam lebih kompleks, pada muka jam, pada jarum jam, pada enjin jam, pada keseluruhan jam dan sebagainya. Ada pen yang hanya matanya sahaja mengadungi emas dan ada jam yang hanya enjinnya sahaja yang mengandungi emas. Soalan saya, adakah dibenarkan bagi lelaki untuk memakai jam atau pen yang mengandungi emas kerana ada yang mengatakan boleh. Mohon penjelasan.
Terima Kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Soalan pertama:
Islam tidak menghalang umatnya untuk melakukan urusniaga dengan bukan Islam namun perlu dipastikan setiap urusniaga yang berlaku antara dua pihak tersebut mematuhi segala rukun dan syarat jual beli. Dalam situasi yang pihak tuan sebutkan, asas dalam syarak dalam jual beli emas mestilah tiada penangguhan dalam akad iaitu ketika serahan wang dibuat dan terimaan emas atau akad serah terima mestilah secara lani atau on the spot. Oleh itu, bagi mengelak masalah berkaitan hukum dalam urusniaga emas dan perak, sebaiknya pilihlah syarikat yang mempunyai panel penasihat syariah yang sah serta berdaftar dengan Bank Negara.
Soalan kedua:
Islam mengharamkan ke atas umatnya sama ada lelaki ataupun wanita menggunakan peralatan yang diperbuat daripada emas ataupun perak. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdul Rahman Bin Abu Laila bahawa Nabi SAW bersabda:
وَلَا تَشْرَبُوا فِي آنِيَةِ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ، وَلَا تَأْكُلُوا فِي صِحَافِهَا
Maksudnya: Jangan kalian minum dalam bekas emas dan perak, dan jangan kamu makan dalam pinggan (yang diperbuat) daripadanya (emas dan perak). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hukum pengharaman ini disepakati oleh seluruh ulama sebagaimana nukilan Imam Nawawi dalam Kitabnya al-Majmuk, “Umat Islam telah ijmak tentang pengharaman makan, minum dan penggunaan-penggunaan lain terhadap bekas emas dan perak”.
Walau bagaimanapun, dalam kes bekas atau peralatan yang tidak diperbuat daripada emas tetapi hanya disadur dengan emas, terdapat beberapa pandangan ulama mengenainya. Terdapat pandangan yang mengharamkan dan terdapat pandangan yang memakruhkannya.
Majoriti ulama termasuk mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie berpendapat bahawa peralatan yang diperbuat bukan daripada emas atau perak tetapi hanya disadur dengan emas atau perak adalah tidak diharamkan tetapi makruh digunakan, dengan syarat kadar saduran tersebut sedikit. Tahap sedikit yang dibenarkan adalah berbeza antara mazhab. Dalam mazhab Syafie, kadar sedikit yang dibenarkan ialah sekiranya peralatan tersebut dibakar di atas api, saduran emas atau perak tersebut tidak terkumpul. Jika sekiranya saduran emas atau perak boleh terkumpul jika dibakar di atas api, maka peralatan tersebut tidak dibenarkan.
Langkah terbaik adalah dengan tidak memakainya kerana sekalipun tidak haram memakainya, akan tetapi makruh. Apabila terdapat khilaf dalam kalangan ulamak, mengambil jalan untuk keluar daripada khilaf (dengan tidak melakukannya), itulah tindakan terbaik.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.