Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
Apakah hukum membayar zakat secara atas talian menggunakan duit cryptocurrency, bitcoin, forex dan sebagainya.
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (2020) memutuskan bahawa Crypto currency atau mata wang kripto seperti Bitcoin diterima sebagai aset digital yang dikategorikan sebagai ‘al-Mal’ (harta). Namun begitu, mata wang kripto tidak diiktiraf penggunaannya sebagai mata wang biasa. Pada masa ini, belum ada sebarang keputusan atau kenyataan rasmi daripada Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan, termasuk di negeri Selangor, mengenai keharusan membuat pembayaran zakat menggunakan mata wang kripto. Hanya negeri Perlis yang telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa pembayaran zakat boleh dibayar menggunakan unit-unit mata wang kripto seperti Bitcoin.
Adapun Forex, singkatan kepada Foreign Exchange yang bermaksud Tukaran Mata Wang Asing, ia adalah suatu platform yang diujudkan untuk urusniaga, perdagangan atau pertukaran mata wang yang dijalankan secara atas talian. Ia bukanlah mata wang yang boleh digunakan untuk berjual beli atau membayar zakat dengannya. Namun sekiranya yang dimaksudkan dengan Forex sebagai mata wang asing, maka keharusan penggunaan untuk membayar zakat tergantung kepada kesediaan pihak Lembaga Zakat untuk menerimanya.
والله أعلم بالصواب