Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ingin bertanya , Adakah jatuh talak jika suami mengatakan semasa bergaduh , Kau bukan sesiapapun bagiku , dan isteri jawab , aku anggap ini jatuh talak . Suami pun balas , ya , kau mahu sangat bercerai kan .
Soalan kedua , Adakah jatuh talak jika suami berjanji menceraikan isteri kedua selepas isteri pertama bersalin ? , Kerana isteri pertama merupakan pesakit deppression dan sedang makan ubat .
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
1. Ucapan suami kepada isteri: "Kau bukan sesiapapun bagiku" adalah ucapan kinayah (tidak jelas) kepada talak. Sama ada talak berlaku atau tidak bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.
Namun kenyataan isteri mengatakan ucapan itu bermaksud talak: "Aku anggap ini jatuh talak" telah diiyakan atau dibenarkan oleh suami dengan kata-katanya: "Ya, kau mahu sangat ceraikan", dikhuatiri boleh menyebabkan jatuhnya talak.
Walau bagaimanapun, adalah disyorkan agar puan merujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
2. Adapun suami berjanji akan menceraikan isteri kedua selepas isteri pertama bersalin tidak menyebabkan jatuh talak. Suami perlu mengucapkan dengan jelas, selepas isteri pertama bersalin, kepada isteri kedua: "aku ceraikan engkau" baru talak berlaku. Melainkan suami melafazkan talak taklik kepada isteri kedua: "Tercerailah engkau apabila isteri pertamaku bersalin", maka apabila isteri pertama bersalin, tercerailah isteri kedua dengan serta merta.
والله أعلم بالصواب