BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t,

Tuan/Puan,

Saya telah kematian suami pada 8 November 2022 yang lalu. Saya ambil maklum perkara-perkara yang boleh dan tak boleh dalam tempoh iddah. Bagaimanapun, saya memerlukan pencerahan bagi perkara di bawah supaya saya tidak melakukan perkara yang salah.

1. Wanita yang kematian suami boleh bekerja kerana mencari rezeki. Bagaimanapun, wanita yang kematian suami tidak dibenarkan bermusafir termasuk menunaikan haji dan umrah. Pekerjaan saya memerlukan saya bermusafir (outstation) di luar negeri untuk beberapa tempoh. Adakah saya boleh pergi outstation?

2. Wanita yang kematian suami boleh keluar untuk keperluan-keperluan penting dan mendesak. Situasi saya seperti di bawah:

   - Sekiranya keluarga mentua saya yang duduk tidak jauh dari kawasan rumah ingin membuat majlis doa selamat dan tahlil, boleh ke saya menghadirinya atas permintaan keluarga mentua?

   - Saya dalam proses menguruskan harta pusaka arwah suami dan saya perlu pergi ke beberapa pejabat untuk menyelesaikannya. Adakah dibenarkan?

3. Keadaan rumah saya memerlukan pembaikan yang sekiranya tidak buat pembaikan akan lebih teruk. Boleh ke saya panggil kontraktor datang ke rumah untuk membaikinya. 

Saya mengharapkan pihak tuan/puan dapat mengemukakan maklum balas dengan kadar segera. Kerjasama yang diberikan amatlah dihargai.

Sekian, terima kasih.

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Dalam melaksanakan tempoh ‘iddah serta berkabung bagi kematian suami, seseorang isteri itu tidak boleh keluar dari rumahnya sepanjang tempoh ber’iddah tersebut melainkan kerana darurat atau keperluan mendesak.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW kepada Furay’ah binti Malik bin Sinan yang mana telah bertemu Nabi SAW bertanyakan adakah boleh bagi dirinya untuk pulang ke pangkuan ahli keluarganya, Bani Khudrah kerana telah kematian suaminya. Lalu jawab Baginda SAW:

امْكُثِي فِي بَيْتِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ

Maksudnya: Tetaplah kamu di rumahmu sehingga sampai apa yang telah ditetapkan. (Riwayat Abu Daud)

Bagi menjawab beberapa pertanyaan puan:

1. Dalam tempoh 'iddah kematian suami, para ulama memberi pengecualian untuk seseorang isteri keluar dari rumah untuk bekerja walaupun mungkin ia terpaksa bermusafir ke luar negeri, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Dalam situasi seperti ini, keluar rumah untuk bekerja tersebut hendaklah dalam bentuk terhad, hanya ke tempat yang ditugaskan sahaja dan tidak pergi ke tempat-tempat lain yang tiada kaitan dengan kerja atau tugas tersebut. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik puan cuba mohon pertimbangan daripada pihak majikan untuk memberi keringanan kepada puan agar boleh ber'iddah di rumah dengan cara bekerja dari rumah seperti yang diamalkan semasa puncak pandemik Covid-19 baru-baru ini.

2. (i) Keluar rumah untuk menghadiri majlis tahlil atau doa selamat adalah tidak dibenarkan. Ini adalah kerana ia bukanlah perkara darurat atau keperluan yang mendesak.

    (ii) Manakala proses menguruskan harta pusaka arwah suami yang memerlukan puan pergi ke beberapa pejabat untuk menyelesaikannya pula adalah tertakluk kepada peraturan sedia ada. Sekiranya proses tersebut memang mesti dilaksanakan dalam tempoh terdekat maka diharuskan untuk puan keluar menguruskannya, namun sekiranya proses tersebut boleh dilanjutkan sehingga selesai 'íddah puan, maka urusan tersebut hendaklah dilaksanakan setelah tempoh 'iddah itu selesai.

3. Dibolehkan untuk puan untuk memanggil kontraktor datang ke rumah untuk membaiki rumah sekiranya tidak buat pembaikan akan menyebabkan rumah itu lebih teruk kerosakannya dengan syarat puan dan pihak yang berkaitan tersebut dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 599

message user image