Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum dan selamat sejahtera
saya ingin bertanya tentang hukum dan status gaji saya mengenai penglibatan saya di dalam bidang perhotelan, saya bekerja di front desk di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur , saya berasa musykil tentang penglibatan saya terhadap arak kerana di hotel kami terdapat sebuah bar, oleh kerana saya bekerja di front desk , saya perlu menjawab pelbagai pertanyaan yang ditanyakan oleh tetamu-tetamu hotel, Salah satunya adalah apabila tetamu-tetamu bertanyakan tentang laluan dan arah untuk ke bar di hotel kami, apakah haram hukum pekerjaan saya ?
terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Pengharaman arak kepada umat Islam adalah secara qatie tidak kira dalam apa juga situasi, masa dan tempat. Ini kerana Islam tidak mengharamkan arak secara 'suka-suka', sebaliknya jelas memberikan mudarat kepada masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang. Al Quran dengan jelas menetapkan hukum haram minum sesuatu yang memabukkan, begitu juga dalam kitab-kitab fiqh, turut membincangkan sama ada arak atau khamr itu diperbuat daripada perahan anggur atau sumber-sumber lain.
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:
لعن النبى ﷺ في الخمر عشرة:
عاصرها ومعتصرها وشاربها وحاملها والمحمولة إليه وسافتها وبائعها وآكل ثمنها والمشتري لها والمشتراة
Maksudnya : Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya. (Riwayat at-Tirmizi)
Sebagaimana pertanya tuan, bidang perhotelan adalah sangat terdedah dengan perkara yang menjadi kerisauan pihak tuan iaitu arak.
Adapun bekerja di bahagian front desk atau receptionist di sesebuah hotel, tugasan atau pekerjaan hakikinya adalah menyambut tetamu bagi urusan pendaftaran kemasukan atau keluar hotel dan tiada kaitan dengan penjualan arak yang ada disediakan di bar yang ada di dalam hotel tersebut. Apabila terdapat pelanggan yang bertanyakan arah ke bar tersebut tidak bermakna pelanggan tersebut ingin meminum arak. Oleh itu, perbuatan menunjukkan arah ke bar tersebut tidak menjejaskan pendapatan atau gaji yang diterima sebagai pekerja di kaunter pendaftaran hotel. Sebaiknya tuan tidak terlibat secara langsung sebagaimana kelompok yang dilaknat disebabkan urusannya berkaitan dengan arak bagi menjamin keberkatan pendapatan yang diterima.
والله أعلم بالصواب