BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya NORIZAL BIN ZUBIR ingin bertanya soalan berkenaan pembahagian dan pengurusan harta pusaka mengikut kaedah dan prosedur tertentu yang telah ditetapkan oleh hukum syarak dan undang-undang. 

Untuk makluman pihak tuan, ibu saya telah kembali kerahmatullah dan meninggalkan suami, anak sulung lelaki dan anak perempuan. 

Oleh yang demikian, Allahyarhamah ada sedikit wang simpanan dan barang kemas. Kami sekeluarga tidak pasti akan tatacara pengurusan barangan tersebut dan yang lebih merisaukan ialah jika pengurusan faraid tersebut tidak mengikut hukum syarak dan segala doa serta amalan yang kami sekeluarga titipkan tidak sampai kepada Allahyarhamah.

Kami sekeluarga memohon pandangan dan teguran pihak tuan dalam melunaskan pembahagian harta pusaka Allahyarmah mengikut nas-nas yang terkandung di dalam Al-Quran demi mendapatkan keredaan dan keberkatan ALLAH SWT. 

Kami sekeluarga berharap pembahagian harta pusaka Allahyarhamah ini tidak menimbulkan segala syak wasangka kemudian hari serta tidak dipersalahkan di Akhirat kelak.

Semoga ALLAH SWT merahmati usaha pihak tuan dan dipermudahkan segala urusan. Aminn Ya Rabbal Alaminn.

Wassalam


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Undang-undang Pusaka Islam (faraid) telah disyariatkan oleh Allah SWT secara berhikmat dan berperingkat-peringkat supaya ianya sesuai dengan falsafah perundangan dan tabiat semulajadi manusia yang agak sukar untuk mengubah adat kelaziman mereka. .Allah SWT telah menentukan hukum dan cara pembahagian dalam harta pusaka dalam kalangan ahli-ahli waris, dengan tujuan  memberi keadilan kepada semua peringkat ahli waris dan mengelak pergaduhan antara  mereka

Merujuk kepada persoalan tuan, sekiranya seseorang meninggal dunia dengan meninggalkan seorang suami, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan, maka pembahagian faraid adalah seperti berikut;

Suami: 1/4

Anak (L/P): Asobah (mendapat baki, dengan kadar nisbah dua bagi lelaki dan satu bagi)

Kaedah pembahagian barang kemas yang ditinggalkan adalah dengan dinilaikan harganya terlebih dahulu. Sebagai contoh, jika nilaiannya adalah RM1,000.00, maka suami si mati akan mendapat 1/4 daripada RM1,000.00 iaitu RM 250 manakala anak lelaki dan perempuan akan berkongsi baki tersebut iaitu RM750.00 secara nisbah dua bagi lelaki dan satu bagi wanita. Oleh itu, anak lelaki akan mendapat RM500.00 manakala anak perempuan akan mendapat RM250.00. Kaedah seperti ini juga harus dilakukan pada setiap harta si mati yang ditinggalkan termasuk wang simpanan.

Huraian berkaitan pembahagian harta pusaka bagi suami si mati, ia dijelaskan dalam surah al-Nisa ayat 12:

 وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَاجُكُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّهُنَّ وَلَدٌ ۚ فَإِن كَانَ لَهُنَّ وَلَدٌ فَلَكُمُ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْنَ ۚ مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِينَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ

Maksudnya: Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Adapun bagi pembahagian harta pusaka kepada anak si mati terdapat dalam dalam surah al-Nisa' ayat 11:

يُوصِيكُمُ اللَّهُ فِي أَوْلَادِكُمْ ۖ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ ۚ

Maksudnya: Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan.

Setelah penentuan hak dibuat menurut hukum faraid, maka terpulang kepada orang yang berhak sama ada ingin kekal dengan kadar tersebut atau ingin menggugurkan haknya dengan memberikannya kepada ahli waris yang lain.

Tuan disarankan untuk merujuk kepada Unit Faraid di Majlis Agama Islam Selangor untuk mendapatkan khidmat nasihat serta panduan yang lebih terperinci pembahagian semua harta pusaka yang ditinggalkan. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 138

message user image