Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
ASSALAMUALAIKUM.SAYA SUDAH BERKAHWIN DAN BEKERJA DI SEKTOR AWAM.SAYA ADA BELI CINCIN EMAS DENGAN DUIT SAYA SENDIRI,DAN SETELAH MEMBELI CINCIN ITU SAYA PUN MEMBERITAHU SUAMI SAYA.TAPI MALANGNYA DIA TELAH MEMARAHI SAYA SEBAB SAYA TIDAK MEMBERITAHU DIA SEBELUM SAYA MEMBELI.SAMPAI SEKARANG KAMI BERGADUH DISEBABKAN PERKARA ITU.ADAKAH SALAH SAYA MEMBELI SESUATU GANJARAN UNTUK DIRI SAYA.MOHON PENCERAHAN..TERIMA KASIH
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan; wang dan harta isteri adalah milik peribadi isteri. Oleh itu, ia tidak boleh dimanfaatkan oleh orang lain hatta suaminya sendiri tanpa keizinan atau kerelaannya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa' ayat 4:
وَءَاتُواْ ٱلنِّسَآءَ صَدُقَٰتِهِنَّ نِحۡلَةٗۚ فَإِن طِبۡنَ لَكُمۡ عَن شَيۡءٖ مِّنۡهُ نَفۡسٗا فَكُلُوهُ هَنِيٓـٔٗا مَّرِيٓـٔٗا
Maksudnya: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.
Malah, si isteri berhak menggunakan harta tersebut untuk membeli barang keperluan dirinya atau bersedekah dengan hartanya sendiri tanpa perlu meminta izin daripada suami. Walau bagaimanapun, mengambil langkah yang lebih harmoni adalah lebih baik iaitu si isteri memaklumkan kepada suami dengan baik dan berhikmah sebagai tanda hormat kepadanya jika keadaan mengizinkan kerana kehidupan berumah tangga adalah perkongsian senang dan susah, sentiasa belajar dan memperbaikinya. Elemen kasih sayang, hormat menghormati, berkerjasama, memberi dan menerima, saling berbincang dan bertolak ansur amat penting demi mencapai kehidupan berkeluarga yang harmoni.
Semoga Allah SWT memberi kefahaman dan keberkatan kepada puan sekeluarga dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin
والله أعلم بالصواب