Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz
Apakah hukum suami tinggalkan tempat tidur isteri, dan tidur bilik berasingan kerana hendak bangun tengah malam untuk solat sunat. Alasan diberikan ialah dia hendak pasang lampu pada tempoh waktu yang agak lama, dan tidak mahu mengganggu isteri tidur. Kekerapan dia buat begini adalah dalam 4-5 hari seminggu. Oleh kerana suami sedang tak bekerja, waktu tidur/ bangun dia lebih fleksibel berbanding dengan saya.
Saya rasa kemungkinan besar ini akan memudaratkan hubungan kami sebagai suami isteri dalam jangka waktu panjang. Tetapi berjaga malam untuk beribadat adalah sangat afdhal. Jadi saya ingin mendapatkan pendapat ustaz.
Perhubungan kelamin pun berlaku sekali dalam satu atau 2 bulan. Saya memang akan ingatkan dia tentang kewajipan nafkah batin, tetapi saya pun dah naik segan untuk tegur dia selalu.
Terima kasih,
Puan Masniza
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Nisa' ayat 19:
وَعَاشِرُوْهُنَّ بِالْمَعْرُوْفِ
Maksudnya:: Dan bergaullah (wahai suami) dengan (isteri-isteri) mereka menurut cara yang makruf/baik.
Di antara tanggungjawab suami kepada isterinya adalah bergaul dengan cara yang baik. Ini termasuk dalam bentuk nafkah batin atau pun dalam bentuk komunikasi, layanan, sentuhan dan perasaan. Komunikasi atau pergaulan yang baik terhadap isteri termasuklah melayaninya dengan baik, lembah lembut, bertolak ansur sama ada dalam hubungan fizikal atau mental dan dengan cara yang bersesuaian dengan sifat semula jadi wanita yang lembut dan sangat mudah terguris perasaannya. Dan di dalam pergaulan yang baik antara suami isteri juga adalah tidur bersama, walaupun tidak melakukan hubungan kelamin.
Hukum asal suami meninggalkan isteri tidur bersendirian kerana sebab atau hajat tertentu adalah mubah atau harus. Hajat atau keperluan yang dimaksudkan dalam pembahasan ini ialah suatu perkara yang mengharuskan dia meninggalkan rumah. Contohnya kerana urusan pekerjaan, harus tidur di rumah ibu bapa suami, tidur di masjid untuk qiamullail dan lain-lain.
Walau bagaimanapun, alasan atau hajat ini bukanlah bersifat sepanjang masa harus dilaksanakan sehingga menyebabkan tanggungjawab yang lebih besar terhadap isteri dan keluarga diabaikan begitu sahaja. Suami haruslah bertimbangrasa dan bertolak ansur dalam menanggani isu seumpama ini. Ini kerana sekiranya perbuatan seumpama ini tidak diurus dengan baik sehingga membawa kepada mudarat yang lebih besar seperti pergaduhan suami isteri, berlaku keganasan dalam rumahtangga sehingga boleh menbawa kepada perceraian, maka keharusan bersebab ini boleh berubah kepada hukum makruh atau pun haram.
Oleh yang demikian, adalah amat digalakkan untuk puan berbincang dengan baik bersama suami, atau sekiranya solusi itu pun tiada penyelasaian, puan dan suami bolehlah merujuk kepada pihak yang berautoriti seperti pihak Jabatan Agama Islam yang boleh menjadi orang tengah atau pembimbing bagi membantu merungkai permasalahan yang berlaku.
والله أعلم بالصواب