BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah, berikut soalan saya.

Saya bekerja di sebuah syarikat multinasional dan kebanyakan staff dan boss merupakan orang bukan islam. Di syarikat kami, akan ada corporate event di mana kehadiran saya akan membawa impak kepada performance kerjaya saya. Dan sering kali apabila perlu pergi workshop, akan ada juga sesi networking. Di corporate event sebegini, akan dihidangnya alkohol (saya tidak minum). Adakah islam membolehkan saya menghadiri majlis-majlis kepentingan sebegini dengan tujuan bekrja? Dan jikalau saya berada di negara dimana Islam minoriti, dalam professional setting (bukan untuk bersuka ria), adakah saya dibenarkan hadir?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Kami mulakan dengan merujuk kepada firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 90

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Justifikasi kepada pengharaman arak dalam Islam sangat banyak selain turut disokong dengan  kajian apabila mengaitkan kesan bahaya pengambilan arak ke atas peminum dan persekitaran peminum serta masyarakat secara keseluruhan.

Ini termasuk kesan sosial dan ekonomi. Kesan sosial merujuk kos terpaksa ditanggung masyarakat dan persekitaran peminum, sekali gus tidak secara eksklusif ditanggung peminum arak sahaja. Kos sosial lebih menjurus kepada kesan terhadap kesejahteraan masyarakat seperti kemalangan jalan raya, masalah di tempat kerja, kemiskinan, kesihatan, keganasan rumah tangga dan kegagalan melaksanakan peranan sosial terhadap keluarga. Seterusnya, kesan sosial akan memberi impak negatif terhadap aspek ekonomi secara keseluruhan. Hal ini wujud kerana aspek sosial ialah unsur penting yang boleh mempengaruhi produktiviti dan mutu penghasilan kerja masyarakat serta negara.

Berkaitan persoalan yang diberikan, berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 140:

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ

Maksudnya: Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam Kitab (Al Quran) bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain.

Bertepatan juga dengan riwayat daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

من كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فلا يشربِ الخمرَ من كان يؤمنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فلا يجلسْ على مائدةٍ يشربُ عليها الخمرَ

Maksudnya: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan juga hari akhirat, janganlah dia meminum arak. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia duduk pada hidangan yang diminum padanya arak (Riwayat Al-Haithami).

Kesimpulannya, seorang muslim yang baik sepatutnya mengelakkan diri untuk berada dalam majlis sebegitu rupa walaupun ia adalah menepati adat sesuatu tempat (minoriti muslim). Ini jelas di dalamnya terkandung aktiviti maksiat kepada Allah SWT dan ini diharamkan. Sewajarnya tuan boleh memperjelaskan hukum berkaitan ini dengan berhemah kepada majikan tuan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 144

message user image