Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Sebelum ni saya pernah mengambil pinjaman bank untuk pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASBF). Saya telah menamatkan pinjaman kerana mengetahui yang pinjaman tersebut adalah konvensional. Pada ketika itu masih ada baki dividen hasil dari pinjaman untuk pelaburan tersebut.
Sehingga kini baki pelaburan itu telah meningkat dengan penambahan dividen setiap tahun.
1. Soalan saya bolehkah saya menggunakan baki pelaburan tersebut untuk kegunaan saya sendiri? Bolehkah saya menyucikan wang tersebut dengan mengeluarkan zakat?
2. Jika tidak boleh, bagaimana saya harus menggunakan wang tersebut? Bolehkah saya menyalurkan kepada pusat zakat, masjid, asnaf atau mana2 institusi?
3. Apakah hukum menggunakan dividen yang dapat daripada hasil pinjaman konvensional?
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Membuat pinjaman wang secara umumnya adalah diharuskan bagi memenuhi keperluan kehidupan manusia. Walau bagaimanapun membuat pinjaman secara konvensional adalah dilarang. Ini adalah kerana pinjaman konvensional melibatkan riba yang diharamkan di dalam Islam sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 275:
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: Dan Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.
Riba merupakan salah satu daripada dosa besar dan pengamalnya diperangi oleh Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 279:
فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ
Maksudnya: Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak akan selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
Namun, wang pinjaman yang diperolehi secara konvensional itu adalah milik sah peminjam dan ia boleh digunakan sebagaimana wang sendiri. Adapun yang diharamkan adalah persetujuan dan perbuatan membayar lebih daripada jumlah pinjaman sebenar, iaitu riba, kepada pihak bank. Seandainya wang pinjaman tersebut dilaburkan, maka hasil atau keuntungan daripada pelaburan tersebut adalah halal. Walau bagaimanapun, wang atau keuntungan yang dihasilkan mungkin tidak memberi keberkatan kerana diperolehi daripada sumber yang melibatkan perkara haram.
Menjawab soalan yang diajukan:
Cuma apa yang ingin ditekankan adalah wang pinjaman tersebut serta dividen yang diperolehi, walaupun dilaburkan di dalam syarikat yang patuh syariah, dibimbangi ia tidak memberikan kebaikan atau keberkatan kerana cara memperolehinya melibatkan sesuatu yang diharamkan oleh syarak dan berdosa besar.
والله أعلم بالصواب