Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz..saya ada soalan yg dh lama saya nak tanya...tapi tak tahu pada siapa..harap ustaz dapat membantu..saya nk bertanya tentang qada puasa..semasa zaman persekolahan saya culas dalam berpuasa..sekarang saya ingin menggantikan puasa tersebut...soalan saya.
1. Sy tk ingat jumlah hari yg saya perlu qada.mcm mana kaedah yg sy perlu gunakan.
2. Fidyah akan berganda setiap tahun..tapi saya xmampu membayar kerana ia sudah terlalu lama..bagaimana caranya ustaz..
3. Jika saya ada sakit dan tk sempat menghabiskan puasa atau xmampu lg qada puasa sbb perlu makan ubat..apa yg perlu sy buat ustaz..
Saya pernah menzalimi org...dan sy xdapat lg berjumpa dgn beliau..adakah Allah akan menolak taubat saya..
Jasa baik.ustaz saya dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih..mohon bantu saya ustaz
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1. Cara yang boleh digunakan bagi menentukan jumlah hari puasa yang ditinggalkan adalah dengan membuat anggaran yang pada sangkaan yang kuat mencukupi. Umpamanya jumlah tahun yang dicuaikan adalah 10 tahun (tahun 2012 hingga 2023) dan setiap tahun 10 hari meninggalkan puasa Ramadan. Ini bermakna jumlah hari yang perlu diqada’ adalah 100 hari.
2. Berdasarkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor Bil. 1/2001 pada 16 Januari 2001, memutuskan bahawa fidyah boleh dibayar dengan dua cara:
i. Gandakan fidyah dan kafarah mengikut tahun.
ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kafarah.
Ini bermakna umat Islam boleh memilih cara yang bersesuaian mengikut keupayaan masing-masing, berganda atau tidak berganda.
Manakala bagi nilai fidyah yang perlu dibayar, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk membayar fidyah berdasarkan kepada kemampuan mereka mengikut jenis beras yang biasa dimakan iaitu RM2.00 bagi mereka yang memakan beras Super Tempatan Gred A, RM4.00 bagi mereka yang memakan beras putih import/ beras perang/ beras pulut/ herba ponni/ beras wangi atau RM6.00 bagi mereka yang memakan beras basmathi/ beras Jepun/ beras merah.
Berdasarkan kepada anggaran hari yang dibuat sebagaimana soalan pertama sebagai contoh iaitu 100 hari, puan boleh memilih:
i. Kaedah berganda:
Tahun 2013: 10 (hari ditinggal) x 10 (tahun ditinggal) x 2.00 = RM200.00
Tahun 2014: 10 (hari ditinggal) x 9 (tahun ditinggal) x 2.00 = RM180.00
Tahun 2015: 10 (hari ditinggal) x 8 (tahun ditinggal) x 2.00 = RM160.00
Tahun 2016: 10 (hari ditinggal) x 7 (tahun ditinggal) x 2.00 = RM140.00
Tahun 2017: 10 (hari ditinggal) x 6 (tahun ditinggal) x 2.00 = RM120.00
Tahun 2018: 10 (hari ditinggal) x 5 (tahun ditinggal) x 2.00 = RM100.00
Tahun 2019: 10 (hari ditinggal) x 4 (tahun ditinggal) x 2.00 = RM80.00
Tahun 2020: 10 (hari ditinggal) x 3 (tahun ditinggal) x 2.00 = RM60.00
Tahun 2021: 10 (hari ditinggal) x 2 (tahun ditinggal) x 2.00 = RM40.00
Tahun 2022: 10 (hari ditinggal) x 1 (tahun ditinggal) x 2.00 = RM20.00
Jumlah yang perlu dibayar selepas Ramadan tahun 2023: RM1,100.00
ii. Kaedah tidak berganda:
100 (hari ditinggal) x RM2.00 (nilai fidyah) = RM200.00
Sila rujuk laman sesawang Lembaga Zakat Selangor untuk pengiraan dan bayaran secara atas talian: https://fpx.zakatselangor.com.my/fpx_paynow.asp
3. Sesungguhnya Allah SWT tidak membebani hamba-Nya dengan sesuatu perkara yang tidak mampu untuk ditanggungnya. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 286:
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.
Apa yang puan boleh lakukan adalah memperbanyakkan beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT atas kecuaian serta dosa meninggalkan puasa yang telah lalu. Bagi seseorang pesakit itu disahkan tiada harapan untuk sembuh, maka dia wajib membayar fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
4. Bagi kesalahan atau kezaliman yang seseorang lalukan terhadap orang lain, Islam mensyaratkan 4 perkara iaitu:
i. Seseorang itu hendaklah berhenti daripada melakukan kesalahan tersebut.
ii. Seseorang itu hendaklah menyesali perbuatan yang dilakukannya.
iii. Seseorang itu hendaklah berazam tidak akan mengulangi perbuatan itu selama-lamanya.
iv. Seseorang itu hendaklah memohon kemaafan daripada orang yang dizaliminya serta menyelesaikan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Sekiranya kesalahan itu berkaitan dengan hutang atau harta yang dirampas, maka ia hendaklah dipulangkan kepada tuannya atau warisnya jika tuannya telah tiada, atau memohon halal daripadanya jika tidak mampu untuk menggantikan harta tersebut. Seandainya orang itu atau warisnya tidak dapat ditemui, dan puan memiliki harta untuk memulangkannya, maka puan boleh bersedekah atau mewakafkan sebanyak jumlah hutang atau harta yang dirampas atas nama orang itu. Walau bagaimanapun, seandainya orang itu ditemui maka wajib memulangkan hutang tersebut kepadanya seandainya beliau tidak redha hartanya disedekahkan atau diwakafkan.
Terus bertaubat kepada Allah SWT dan jangan berputus asa daripada Rahmat-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Maidah ayat 39:
فَمَنْ تَابَ مِنْ بَعْدِ ظُلْمِهِ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ اللَّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya: Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kezaliman/ kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
والله أعلم بالصواب