Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya bekerja di sebuah kilang dan kerap kali dihantar ke luar negara atas urusan kerja. Kerana kejahilan saya, saya telah melakukan zina bersama wanita bukan islam sehingga dia mengandung.
Apakah hak saya terhadap anak tersebut & bagaimana pula akidah anak tersebut kerana ibunya bukan islam. Adakah boleh sy menyuruh perempuan itu mengugurkannya kerana mengelakkan anak itu beragama lain?
Saya sangat menyesali perbuatan terkutuk ini. Maafkan saya..
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Perbuatan zina adalah berdosa besar dan perbuatan keji yang membawa kerosakan kepada masyarakat. Firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat 32:
وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةًۭ وَسَآءَ سَبِيلًۭا
Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
Berdasarkan ayat ini, Imam al-Razi menjelaskan larangan mendekati zina adalah bentuk larangan supaya meninggalkan perbuatan zina kerana ia adalah perbuatan yang keji dan haram dilakukan. Pelaku yang melakukan perbuatan ini hendaklah beristighfar dan bertaubat dengan taubat nasuha serta berikrar tidak akan mengulangi perbuatan tersebut. Di samping itu, digalakkan juga untuk melakukan kebaikan dengan sebanyaknya bagi menutupi atau menghapuskan dosa zina.
Dari segi undang-undang dan hukum syarak, anak tidak sah taraf adalah milik sepenuh ibu yang mengandung dan melahirkannya. Hak tersebut termasuklah dari sudut hak penjagaan, perlindungan dan nafkah. Soalan tuan mengenai akidah anak tersebut adalah merujuk kepada ibunya.
Mengenai hukum menggugurkan janin tanpa sebab munasabah ianya adalah perbuatan yang haram. Ia merujuk kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-26 yang bersidang pada 7 Mac 1990 yang memutuskan seperti berikut:
(1) Menurut Ijmak Fuqaha’, haram menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.
(2) Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya kepada ibu dan mendapat persetujuan daripada kedua-dua suami isteri.
(3) Ijmak Fuqaha’ berpendapat hukum pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.
Muzakarah juga telah mengambil keputusan bahawa adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.
Sebagai kesimpulannya, kami nasihatkan kepada tuan untuk segera bertaubat atas setiap perbuatan yang mengundang kepada kemurkaan Allah SWT. Semoga kita lebih berhati-hati dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan serta tidak mengikut hawa nafsu di samping meningkatkan ilmu pengetahuan tentang larangan dan suruhan-Nya.
والله أعلم بالصواب