Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya adakah percikan air mutanajjis di lantai yang terkena pada anggota badan sewaktu mandi wajib akan mempengaruhi sah mandi wajib tersebut? Sewaktu melakukan mandi wajib saya dapati terdapat najis di lantai bilik air. Saya menggunakan shower untuk mandi wajib dan air digunakan adalah air mutlak, cuma air percikan dari lantai yang terkena najis itu merisaukan saya. Mohon penjelasan adakah sah mandi wajib saya mufti.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis melalui ain, bau, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, warna dan rasa. Merujuk kepada persoalan tuan:
Sekiranya diyakini percikan air itu mengandungi najis, maka ia adalah air mutanajjis. Anggota badan yang terkena percikan air tersebut perlu dibasuh atau disucikan. Walau bagaimanapun, sekiranya air percikan itu tidak mengandungi najis atau diragui, maka air percikan itu bukan najis. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang Kitab al-Fiqh al-Manhaji:
“Islam agama yang bersih, untuk itu wajib menghilangkan najis walau di mana keberadaannya. Memelihara diri daripada najis, dan menjadi bersih dari najis adalah syarat sah solat sama ada pada pakaian ataupun badan ataupun tempat solat. Sesungguhnya agama meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Maka dimaafkan sebahagian najis disebabkan kesusahan untuk menghilangkannya atau kesusahan untuk menjaga daripada terkena najis tersebut, agar menjadi kemudahan kepada manusia, dan mengangkat kesusahan daripada manusia. Contohnya, percikan air kencing yang sedikit yang tidak dapat dikesan dengan penglihatan mata yang sederhana jika terkena pakaian ataupun badan, sama ada najis mughallazah ataupun najis mukhaffafah ataupun najis mutawassitah.”
Oleh itu, mandi wajib tuan adalah sah. Bagi mengelakkan dari perasaan was-was berkaitan najis tersebut, kembali kepada kaedah fiqh yang menyatakan:
الأصل في الأشياء الطهور
Maksudnya: Hukum asal suatu benda adalah suci.
Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit was-was kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik. Ini kerana pada asalnya, sesuatu perkara/ benda itu adalah suci sehingga diyakini terkena ain najis. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak dianggap sebagai bernajis.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.