BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : JENAYAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Suami saya telah menikahi semula jandanya, yang mana mereka sebelum ini sudah cerai talak 3 dan wanita tersebut belum pernah kawin lain. Mereka nikah semula melalui sindiket & untuk pengesahan status jandanya, wanita tersebut telah menggunakan surat cerainya dgn suami terdahulu. (Dokumen ini ditemui oleh ahli keluarga wanita tersebut dan dimaklumkan kpd saya).

Hal ini telah dimaklumkan kpd Pejabat Agama namun tindakan tak dpt dilakukan kerana mereka tidak tinggal serumah (namun setiap hari keluar bersama).

Semenjak mereka bersatu semula, suami terus abaikan nafkah zahir batin untuk saya (dah 7 bulan). Malah suami tak izin saya balik ke rumahnya (saya tinggal dirumah milik saya sendiri).

Untuk makluman, sebelum hal diatas berlaku, suami tidak pernah mengasari saya malah melayan saya dgn sgt baik & lemah lembut.

Soalan saya:

1. Adakah berdosa jika saya ingin terus kekal sebagai isterinya walaupun saya tahu dia bermaksiat & berzina.

2. Adakah saya masih wajib minta izinnya jika nak kemana-mana.

Mohon pencerahan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

1. Adalah tidak berdosa sekiranya puan ingin terus kekal sebagai isteri kepada seorang pendosa dengan syarat tidak merestui atau meredhai perlakuan maksiat serta dosa tersebut. Sebagai isteri, puan boleh berterusan menasihati suami tentang tanggungjawabnya dan memberi amaran kepadanya tentang balasan Allah SWT dengan perbuatan maksiat dan dosanya tersebut. 

Isteri sama sekali tidak berdosa atau terpalit dengan dosa terhadap apa yang suami lakukan selagimana isteri melaksanakan tugas menegur dan menasihati suaminya. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-An'am ayat 164:

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya. Dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).

2. Isteri tetap wajib minta izin suami sekiranya ingin ke mana-mana. Ini berdasarkan kepada hadis daripada Abdullah bin Umar RA berkata :

 رأيت امرأة أتت إلى النبي صلى الله عليه وسلم وقالت  يا رسول الله ما حق الزوج على زوجته؟ قال: حقه عليها ألأ تخرج من بيتها إلا بإذنه فإن فعلت لعنها الله وملائكته الرحمة وملائكة الغضب حتى تتوب أو ترجع، قالت يا رسول الله وإن كان لها ظالما؟ قال وإن كان ظالما

MaksudyaAku melihat seorang perempuan mendatangi Rasulullah dan bertanya: Wahai Rasulullah SAW, apakah hak suami atas isterinya? Rasulullah SAW menjawab: Hak suami atas isterinya adalah seorang isteri tidak dibenarkan keluar dari rumah kecuali dengan izin suami. Apabila ia melakukan tersebut maka ia dilaknat oleh Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab sampai ia bertaubat. Wanita itu bertanya: wahai Rasulullah SAW, sekalipun suami berbuat zalim? Rasul menjawab: Ya, sekalipun ia berbuat zalim. (Riwayat Abu Daud).

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 222

message user image