Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Mohon pencerahan bagi permasalahan berikut:
Terdapat sebidang tanah pusaka berstatus pertanian yang berkeluasan sekitar 2 hektar yang telah diberikan hakmilik secara faraid kepada 7 orang waris Setiap tahun salah seorang waris yang memiliki sebahagian daripada tanah tersebut telah mengambil tanggungjawab untuk menjelaskan cukai tanah bagi keseluruhan lot tanah tersebut, manakala waris/pemilik yang lain langsung tidak mengambil peduli tentang perkara ini walau pun telah diwar-warkan sedangkan mereka juga memanfaatkan tanah bahagian mereka dengan membina rumah dan mengusahakan kebun tanaman.
Apakah hukum dan pandangan islam ke atas permasalahan ini
Terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan, perbuatan salah seorang pemilik yang mengambil tanggungjawab untuk melangsaikan cukai tanah merupakan perbuatan mulia sekiranya beliau ikhlas melakukannya kerana Allah SWT dan bukan kerana pemilik tanah yang lain. Semoga Allah memberikan kepadanya sebaik-baik ganjaran kerana memudahkan urusan pemilik tanah yang lain.
Manakala perbuatan pemilik tanah yang mengambil sikap sambil lewa serta tidak mengambil peduli atas tanggungjawab sebagai seorang pemilik harta yang wajib membayar cukai kepada kerajaan adalah perbuatan yang zalim dan ia dibimbangi termasuk dalam kalangan orang yang memakan harta orang lain dengan jalan zalim. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.
Cukai merupakan tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh rakyat kepada pemerintah, kegagalan membayar cukai merupakan satu bentuk kezaliman yang wajib dijauhi oleh seorang muslim. Mematuhi pemerintah pada perkara kebaikan yang tidak bertentangan dengan syarak merupakan suatu kewajipan.
Berhubung jumlah cukai yang perlu dibayar bagi setiap pemilik tanah, ia bolehlah dibahagikan berdasarkan keluasan tanah yang dimiliki. Apa-apa jumlah yang dibayar bagi pihak mereka boleh dituntut sebagai hutang yang wajib dibayar semula kepada pihak yang membayar jika dituntut.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.