BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

salam ustaz,,,sy ingin bertanya,,,sy bapa pd 3 org anak, perkahwinan sudah mencecah 10 tahun,,,jadi soalan sy ustaz,,,bolehkan sy menjalani pembedahan vasektomy,,alasannya adalah kerana faktor kesihatan isteri yg tidak sihat jika mengandung lg,,setelah berbincang secara dalam,isteri memberi izin untuk sy melakukan vasektomy,,,jadi pertanyaan sy,apakah hukum ke atas sy jika melakukan prosedur itu.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Vasektomi merupakan suatu prosedur kawalan kehamilan kekal yang menghalang pergerakan sperma keluar ketika proses ejakulasi semasa persetubuhan. Prosedur yang ini melibatkan pemotongan struktur tiub atau saluran yang membawa sperma dari testis ke tiup urethra atau zakar (tempat keluar air kencing) yang dikenali sebagai vas deferens. Tujuan prosedur ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa air mani yang keluar tidak mengandungi sperma iaitu benih lelaki. Vasektomi merupakan suatu prosedur yang kekal dan tidak dapat kembali kepada fungsi yang asal. Walaupun terdapat kaedah prosedur pembalikan semula, ia merupakan suatu prosedur yang sukar dan mahal kerana ia melibatkan pakar bedah yang berkemahiran tinggi.

Dari segi syarak, pada dasarnya Islam melarang umatnya lelaki mahupun perempuan daripada menghilangkan keupayaan untuk mendapatkan zuriat atau memandulkan diri secara kekal melainkan terdapat perkara yang mendesak atas faktor kesihatan dengan mendapat pengesahan daripada doktor pakar yang dipercayai.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Kali Ke-12 pada 20 Januari 1977 memutuskan bahawa hukum mengenai Perancang Keluarga adalah seperti berikut:

  1. Memandul lelaki dan perempuan hukumnya adalah haram.
  2. Mencegah beranak atau menghadkan bilangan anak hukumnya adalah haram melainkan dengan sebab yang diharuskan oleh syarak bagi orang perseorangan.
  3. Menyusun keluarga dari kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga dengan cara yang selain daripada (1) dan (2) di atas adalah harus.

Kesimpulannya, Vasektomi merupakan suatu prosedur menghilangkan keupayaan reproduksi atau kebolehan untuk mendapatkan zuriat bagi seseorang lelaki secara kekal. Oleh itu, ia adalah dilarang menurut syarak melainkan terdapat keuzuran serta pengesahan daripada doktor pakar seandainya prosedur tidak dilakukan akan menyebabkan kemudaratan kepada lelaki tersebut. Adapun dengan sebab khuatir akan kesihatan isteri jika mengandung, terdapat kaedah lain mencegah kehamilan yang boleh digunakan yang bersifat sementara. Tambahan pula, suami mungkin memerlukan keupayaan tersebut pada masa hadapan atas sebab-sebab yang tidak dijangkakan.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 117

message user image