Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
salam ustaz saya memerlukan pencerahan
harap ustaz boleh bagi saya keyakinan
malam tadi suami saya ada melafazkan talik jika saya tidak percaya apa yg dikatakan jatuh talak 3….
Jika lafaz taklik dibuat bukan bertujuan mentalakkan isterinya, tapi cuma memberi keyakinan yang dia membenci kelakuan itu, dan jika isteri melanggarnya: tak jatuh talak.
benarkah yang dinyatakn seperti diatas kerana hanya suami sy tidak suka sebab saya kadang2 dia rasa tidak percaya pada nya
dan jika kadang2 yg diperkatakan tidak logik dan saya tidak percaya adakah talak masih tidak jatuh?
suami saya jugak ada menarik balik talak tersebut sah ke ustaz?
sy harap ustaz dapat membalas secepat mungkin sebab kami sayang antara satu sama lain
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Nabi Muhammad SAW menegas di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai dan rujuk semula (selepas talak). (Riwayat Abu Daud).
Hadis di atas jelas menunjukkan larangan untuk tidak bermain-main dalam tiga perkara tersebut, terutama dalam urusan yang melibatkan talak kerana ia boleh menyebabkan kepada terputusnya hubungan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri. Suami hendaklah senantiasa berhati-hati dalam menuturkan perkataan terutama ketika berlakunya salah faham atau perselisihan faham antara pasangan, agar tidak berlaku pertikaian di kemudian hari.
Menjawab persoalan puan di atas, lafaz tersebut termasuk dalam cerai secara taklik. Talak Taklik adalah lafaz talak yang diucapkan dengan bersyarat. Talak berlaku sekiranya syarat tersebut berlaku.
Dengan kata lain, Talak Taklik bermaksud: menggantungkan perceraian kepada sesuatu perkara atau masa seperti kata suami kepada isterinya: “JIka engkau tidak percaya dengan apa yang dikatakan, jatuh talak 3.” atau sebagainya. Sekiranya berlaku perkara yang disyaratkan di dalam taklik tersebut iaitu isteri mengatakan bahawa dia tidak mempercayai dengan apa yang dikatakan oleh suami, maka ia boleh menyebabkan penceraian atau talak berlaku.
Namun perlu diingat bahawa lafaz taklik yang diucapkan tidak boleh ditarik balik atau dibatalkan
Walau bagaimanapun, bila timbul pertikaian antara suami atau isteri, terutama berkaitan kesahihan lafaz taklik atau pertikaian terhadap berlaku atau tidak apa yang disyaratkan di dalam taklik tersebut, maka puan dan suami hendaklah hadir ke Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan kadar segera untuk membuat pengesahan berhubung lafaz taklik dan perlanggaran syarat taklik yang mungkin berlaku. Suami perlu memberi keterangan tentang apa yang dilafazkan dan isteri pula tidak wajar berdiam diri sekiranya wujud keraguan dan pertikaian terhadap pelanggaran syarat taklik tersebut.
Oleh yang demikian, sedikit nasihat untuk kita semua, dalam melayari kehidupan berumahtangga ini, pasangan suami isteri hendaklah berusaha sedaya upaya menyemaikan rasa toleransi, selalu berbincang, banyakkan bersabar serta berfikir sebelum bertindak. Banyak lagi kaedah yang lain boleh digunakan bagi membina keyakinan dan kepercayaan pasangan kita, jangan jadikan lafaz talak atau taklik sebagai bukti dan jaminan untuk membina keyakinan pasangan terhadap kita.
والله أعلم بالصواب