BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz

Soalan pasal Fidyah untuk arwah ibu. 

Ibu sakit beberapa tahun sebelum meninggal. Ibu meninggal umur 83. 

Saya ingin Membayar Fidyah semaksimum mungkin untuk arwah. Maka berapa hari dan berapa tahun agaknya saya perlu ambil kira untuk tijuana tersebut. Contoh separuh umurnya dan 30 hari setiap tahun ke bagaimana ye ? 

Terima Kasih.  


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, 

Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah dengan melaksanakan perbincangan bersama waris terdekat seperti isteri, anak-anak atau ibu bapa bagi memastikan bilangan hari puasa yang ditinggalkan oleh arwah. Kaedah kiraan yang boleh dipertimbangkan adalah secara tahdid (jumlah yang tepat) atau taqrib (anggaran jumlah). Jika wujud perbezaan pandangan antara waris maka ambil yang lebih banyak sebagai langkah ihtiyati (berjaga-jaga). Ini juga bertepatan dengan kaedah:

الإثباتُ مقدَّمٌ على النفي

Maksudnya: Penetapan itu diutamakan daripada penafian.

Setelah mendapat jumlah yang disepakati, langkah seterusnya adalah puasa yang ditinggalkan oleh arwah digantikan oleh ahli waris kerana ianya lebih utama berbanding membayar fidyah, berdasarkan kepada hadis yang diriwayat daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: Barangsiapa meninggal dunia dan ke atasnya ada puasa (yang tertunggak), maka walinya berpuasa bagi pihaknya. (Riwayat al-Bukhari)

Begitu juga hadis yang diiwayatkan daripada Abdullah bin Abbas RA:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ، أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: Telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah mati sedangkan beliau ada puasa sebulan yang tertunggak, apakah boleh aku menunaikannya bagi pihak beliau? Jawab Rasulullah SAW: Boleh. Baginda berkata lagi: Kerana hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk ditunaikan. (Riwayat al-Bukhari)

Dalam mazhab Syafi'i, seseorang yang mati dan ke atasnya ada puasa qada' yang tertunggak, sedangkan dia mampu untuk menggantikannya sebelum meninggal dunia, pendapat terpilih ialah harus bagi kaum kerabat si mati untuk berpuasa bagi pihak si mati dan berpahala bagi mereka kerana menunaikannya. Imam Nawawi di dalam al-Majmuk mentarjihkan pendapat ini. Ini juga pendapat lama (qaul Qadim) Imam Al-Syafie. 

Sekiranya kaum kerabat tidak mahu atau tidak mampu menggantikannya, maka boleh juga mengambil pendapat membayar fidyah satu mud bagi setiap hari yang tertunggak. Ini berdasarkan berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 184:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

Sebagai panduan dalam pelaksanaan pembayaran fidyah berikut adalah keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor yang bersidang pada 16 Januari 2001 telah sebulat suara membuat keputusan bahawa: Harus menggunakan 2 kaedah dalam pembayaran fidyah iaitu:

  1. Gandakan fidyah dan kifarah mengikut tahun.

  2. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kifarah.

Ini bermakna umat Islam boleh memilih cara yang bersesuaian mengikut keupayaan masing-masing, sama ada berganda atau tidak berganda.

Manakala bagi nilai fiqyah yang perlu dibayar, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menggalakkan golongan yang berkemampuan untuk membayar fidyah berdasarkan kepada kemampuan mereka mengikut jenis beras yang biasa dimakan iaitu RM2.00 bagi mereka yang memakan beras Super Tempatan Gred A, RM4.00 bagi mereka yang memakan beras putih import/ beras perang/ beras pulut/ herba ponni/ beras wangi atau RM6.00 bagi mereka yang memakan beras basmathi/ beras Jepun/ beras merah.

Contoh yang boleh kami berikan bagi arwah ibu tuan, kadar maksimum fiqyah boleh dikira bermula dari umur baligh. 83 tahun ditolak 9 tahun, maka tempoh umur wajib berpuasa adalah 74 tahun. 74 tahun x 30 hari (puasa yang perlu diqada' setahun) = 2,220 hari.

Tuan boleh menggunakan kaedah tidak berganda sama ada RM2.00, RM4.00 atau RM6.00 berdasarkan beras yang biasa dimakan oleh arwah ibu. Sebagai contoh 2,220 hari x RM2.00 = RM4,440.00. 

Bagi memudahkan urusan pengiraan dan pembayaran fidyah puan boleh layari pautan berikut:  https://www.mais.gov.my/kalkulator-fidyah-puasa/, atau puan boleh ke Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri yang berhampiran selaku Pihak Berkuasa Agama yang menguruskan fidyah. Puan juga boleh ke mana-mana kaunter zakat berhampiran untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan pembayaran fidyah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.  


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 153

message user image