BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt. saya Mardhiatul Syuhada binti Mustapa ingin mengajukan dua soalan:


1) Apakah hukum sekiranya kita bekerja sebagai pemandu lori untuk sebuah "supermarket" dan ada sebahagian barangan yang kita bawa adalah barangan/makanan yang tidak halal seperti arak?

 
2) Bagaimana dengan gaji yang kita peroleh dari pekerjaan pemandu lori tersebut, ianya dikira halal atau haram untuk digunakan?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

1. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya. (Riwayat al-Tirmidzi).

Sebagaimana pertanya puan, sememangnya pekerjaan yang dilakukan itu ada dalam kalangan 10 kategori dilaknat oleh Rasulullah SAW disebabkan peranannya berkaitan langsung dengan penjualan arak walaupun tugasnya hanyalah pembawa lori.

Allah SWT memerintahkan umatnya supaya bertolong-tolong dalm setiap perkara kebaikan dan melarang untuk membantu dalam perkara kemaksiatan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Dengan meninggalkan perkerjaan yang melibatkan perkara yang haram dan syubhah bertujuan untuk menjaga syariat dan maslahah agama. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad saw:

 فمنِ اتَّقى الشُّبُهاتِ استبرَأ لدينِهِ وعِرضِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubhah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya(Riwayat al-Bukhari)

Bagi mengatasi masalah ini, mungkin perkara terbaik yang boleh dilakukan adalah berbincang dengan pihak majikan untuk dipindahkan ke bahagian lain yang tidak melibatkan aktiviti bersangkutan dengan arak. Seandainya persetujuan sukar untuk diperolehi, maka carilah pekerjaan lain yang tidak berkaitan dengan arak. Namun sekiranya sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang lain, teruskanlah pekerjaan tersebut dengan rasa tidak redha dengan membawa arak tersebut.

2. Gaji yang diperolehi daripada pekerjaan tersebut mengandungi unsur syubhah kerana terlbat dengan perkara berkaitan dengan arak. Seandainya arak hanya sebahagian kecil daripada barang yang dibawa, maka gaji itu boleh disucikan dengan mengeluarkan sebahagian gaji yang diperolehi kepada Baitulmal mengikut anggaran peratus kadar jumlah arak yang dibawa berbanding barang-barang yang lain. 

Berniatlah dan berusahalah dari sekarang untuk berpindah atau bertukar kerja yang yakin halal semuanya dan semoga Allah perkenankan niat dan permudahkan usaha puan. Jika belum berjaya jangan putus asa, Allah Maha Mengetahui dan Maha Pengampun. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 214

message user image