Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya mohon penjelasan berkaitan perkara berikut.
Suami saya baharu meninggal dunia pada November yang lepas. Ada 2 kemusykilan berkaitan isu faraid dan harta yang ditinggalkan.
1. Arwah telah menghibahkan rumah yang disewakan kepada anak kami yang masih di bawah umur. Saya adalah wasi kepada harta tersebut sehingga anak saya cukup umur. Persoalan saya, adakah hasil sewaan tersebut adalah hak anak saya sepenuhnya atau saya sebagai pemegang amanah, boleh menggunakan duit sewaan tersebut untuk menampung perbelanjaan harian anak saya yang menerima hibah, termasuk saya dan anak-anak yang lain? Untuk makluman, rumah tersebut telah bebas hutang.
2. Arwah suami juga telah membuat wasiat bahawa sejumlah dari duit KWSP beliau diinfaqkan kepada seorang individu kurang upaya dan sebuah Maahad Tahfiz. Persoalan saya, adakah saya sebagai pemegang amanah, setelah mengeluarkan duit KWSP, boleh terus tunaikan wasiat tersebut setelah semua hutang piutang diselesaikan walaupun urusan pusaka yang lain masih lagi dalam tindakan pejabat pusaka kecil? Untuk makluman tuan, urusan pusaka yang lain telah pun difailkan untuk urusan seterusnya.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
1. Hasil daripada rumah sewa tersebut adalah hak anak sebagai pemilik namun sebagai pemegang amanah puan boleh menggunakan hasil sewaan tersebut untuk semua urusan berkaitan rumah tersebut seperti bayaran cukai, penyelenggaraan kerosakan dan juga upah pengurusan puan sebagai pemegang amanah yang menguruskan harta tersebut dengan kadar yang munasabah.
Adapun menggunakan hasil sewaan rumah untuk kegunaan perbelanjaan adik-beradik yang lain bergantung kepada kemampuan kewangan puan serta adik-beradik yang lain menyara hidup mereka. Seandainya mereka memiliki kemampuan untuk menampung kehidupan mereka sendiri, maka sayugia untuk tidak menggunakan hasil sewaan tersebut. Namun, sekiranya mereka tidak berkemampuan, maka harus bagi puan menggunakan hasil sewaan tersebut untuk perbelanjaan adik-adik yang lain secara makruf atau yang baik. Ini adalah kerana mereka berada di bawah penjagaan puan.
2. Wasiat merupakan hasrat arwah yang wajib diselesaikan namun syarat yang wajib dipatuhi dalam pelaksanaan wasiat adalah jumlah harta yang diwasiatkan itu tidak boleh melebihi satu pertiga keseluruhan harta yang ditinggalkan, bagi mempercepatkan proses pelaksanaan wasiat tersebut puan boleh dapatkan jumlah keseluruhan harta peninggalan arwah suami dan setelah dipastikan wasiat tersebut tidak melebihi satu pertiga keseluruhan harta peninggalan arwah suami maka wasiat tersebut boleh terus dilaksanakan.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.