Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, soalan saya :
1. Apakah hukum gaji yang saya terima jika penyelia atasan saya claim elaun outstation dan ot secara lebih. Dan jika ianya haram bagaimanakah cara saya menyelesaikannya? Setiap claim dibuat oleh penyelia kumpulan. Saya sebagai orang bawahan dan baru sahaja bekerja 2 bulan di syarikat ini, tidak mampu menegur atau mengubah claim yang telah dibuat.
2. Apakah hukum gaji yang diterima jika kerja yang telah diarahkan seharusnya siap dalam masa 2 hari, tetapi kami telah siapkan dalam masa sehari, lalu penyelia saya tetap claim bayaran untuk 2 hari, sedangkan kami telah siapkan kerja dalam masa sehari.
Mohon perjelaskan agar saya tidak keliru dan termakan hasil yang haram.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
1. Firman Allah SWT memerintahkan umatnya supaya bertolong-tolong dalam setiap perkara kebaikan dan melarang untuk membantu dalam perkara kemaksiatan. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Sebaiknya, perkara ini hendaklah dilaporkan kepada pihak atasan berhubung penipuan yang dilakukan oleh Penyelia tuan tersebut. Cegahlah sesuatu kemaksiatan yang berlaku di hadapan mata tuan walaupun perbuatan melaporkan kesalahan tersebut kerana ia adalah sebahagian tuntutan agama. Said al-Khudri RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim dan Ahmad).
Gaji yang tuan terima adalah halal dan tuan tidak berdosa, melainkan tuan meredhai perbuatan Penyelia membuat tuntutan kerja lebih masa untuk dirinya. Namun, tuan mungkin boleh dikenakan tindakan tatatertib sekiranya mendiamkan perkara tersebut. Sekiranya tuntutan kerja lebih masa itu melibatkan kumpulan dan tuan salah seorang daripadanya, maka tuan hanya dibenarkan mengambil bayaran kerja lebih masa yang sepatutnya tuan layak menerimanya sahaja.
2. Berhubung perkara tersebut, tuan perlu melihat kepada perjanjian yang dibuat. Sekiranya perjanjian itu meletakkan syarat upah diberikan berdasarkan kepada menyiapkan tugasan yang diberikan, maka upah yang diterima adalah diharuskan walaupun tugasan itu disiapkan dalam tempoh satu hari sahaja. Namun sekiranya upah diberikan berdasarkan hari bekerja, maka tuan hanya boleh mengambil upah berdasarkan hari yang tuan bekerja.
والله أعلم بالصواب