Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Bolih kah seorang ibu mengeluarkan Zakat Emas yang cukup haul & nisabnye kepada anak beliau sendiri yang memerlukan kos rawatan sakit barah seperti perbelanjaan rawatan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan, firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 60:
Berdasarkan ayat di atas para ulamak bersepakat menyatakan bahawa zakat mestilah diagihkan kepada golongan-golongan tertentu yang telah disebut di atas iaitu fakir, miskin, amil zakat, riqab, muallaf, orang yang berhutang, fi sabilillah dan Ibnu Sabil. Begitu juga para ulama menyatakan bahawa zakat tidak boleh diberi kepada ahli keluarga di bawah tanggungan seperti anak-anak dan juga isteri.
Dalam situasi yang disebutkan di atas seorang ibu dibenarkan malah disunatkan untuk memberi zakat kepada anaknya seandainya anak itu berkelayakan. Ini kerana, bukan menjadi kewajipannya untuk memberi nafkah kepada anaknya. Melainkan sekiranya dengan ketiadaan bapa, maka si ibu wajib menanggung nafkah anaknya dan tidak dibenarkan untuk memberi zakat kepada anaknya. Namun sebaiknya tunaikanlah zakat kepada Pihak Berkuasa Agama yang diamanahkan untuk menguruskan zakat dan berbincanglah dengan mereka untuk membuat agihan sendiri kepada anak yang memerlukan.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.