Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,nak tanya kalau mandi wajib ada kotoran sikit je di celah-celah kuku,sah tak mandi wajib kalau nak hilangkan tu susah.Dah sental tapi tak hilang jugak.Adakah sah mandi wajib?Satu lagi kalau kuku itu sendiri yang kotor bukan bawah kuku tapi kuku tu yang berwarna sebabkan main bola kat padang.Adakah sah mandi wajib kalau dibiarkan sahaja?Itu saja soalan saya,semoga dapat menjawab terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk persoalan saudara, antara salah satu rukun mandi wajib adalah meratakan air ke seluruh badan termasuk kulit, kuku, bahagian pusat dan bulu-bulu yang ada pada tubuh badan. Maka wajib menghilangkan terlebih dahulu sebarang najis, bendasing atau kotoran yang dapat menghalang air dari sampai ke kulit. Walau bagaimanapun sekiranya bendasing atau kotoran tersebut sukar untuk ditanggalkan secara sempurna setelah berusaha sedaya upaya menanggalkannya tanpa memudaratkan diri, seperti cat, gam, minyak atau sebagainya, maka ia dimaafkan dan hukum mandi wajib adalah sah.
والله أعلم بالصواب