Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Sy ingin minta pendapat para ilmuwan utk tindakan yg selanjutnya. Kami bertengkat bertegang urat sehaarian Dan hilang kesabaran suami Dan isteri
Isteri telah melakukan Hal yg tidak disukai Dan berlakunya suami terlepas cakap mentalakkan isteri tanpa niat tetapi lebih pada mengugut supaya isteri faham tidak sepatutnya issue yg di gaduhkan itu timbul
Keadaan suami yg sgt marah Dan binggung selepas kejadian
Suami meragui akan kata2 nya da apakah status talak tersebut.
Minta nasihat
Terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Nabi Muhammad SAW menegas di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak). (Riwayat Abu Daud).
Hadis di atas jelas menunjukkan larangan untuk tidak bermain-main dalam tiga perkara tersebut, terutama dalam urusan yang melibatkan talak kerana ia boleh menyebabkan kepada terputusnya hubungan antara suami dan isteri. Suami hendaklah senantiasa berhati-hati dalam menuturkan perkataan terutama ketika berlakunya salah faham atau perselisihan faham antara pasangan, agar tidak berlaku pertikaian di kemudian hari.
Lafaz talak yang sorih (jelas) dan sempurna ayatnya, apabila dilafazkan oleh suami kepada isterinya, walaupun tanpa niat dan dalam keadaan marah akan menyebabkan talak itu jatuh.
Walau bagaimanapun, bila timbul keraguan terutama berkaitan kesahihan lafaz talak tersebut, maka puan dan suami hendaklah hadir ke Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan kadar segera untuk membuat pengesahan berhubung lafaz tersebut, kerana ia merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Oleh yang demikian, sedikit nasihat untuk kita semua, dalam melayari kehidupan berumahtangga ini, pasangan suami isteri hendaklah berusaha sedaya upaya menyemaikan rasa toleransi, selalu berbincang, banyakkan bersabar serta berfikir sebelum bertindak. Banyak lagi kaedah yang lain boleh digunakan bagi membina keyakinan dan kepercayaan pasangan kita dalam mengharungi rumahtangga yang ditempuhi ini, jangan jadikan perkataan talak sebagai senjata mudah untuk meredakan suhu panas konflik berkeluarga, walaupun ia dibenarkan dalam Islam tetapi ia adalah peluru terakhir sekiranya tiada lagi peluru lain yang boleh digunakan.
والله أعلم بالصواب