BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz. 1. Sebelum mandi wajib, saya dah potong kuku tangan dan kaki dgn pendek, perlukah saya mengorek kuku tangan dan kaki yang pendek itu supaya air kena di celah kuku yang pendek itu.  2. Perlukah buka mulut semasa Mandi wajib untuk cuci celah mulut atau cuci mulut dalam keadaan mulut tertutup.  3. Saya kerap mengalami keadaan ini, setiap Kali saya bangun tidur tanpa mengira waktu dan masa, ada sedikit basah pada seluar dalam, cecair itu sedikit seperti titisan air, ia bukan Mani tapi disebabkan perkara ini kerap berlaku, kadang kadang saya berasa was was. Saya nak sembuh daripada penyakit was was, apa yang perlu saya buat disebabkan perkara tersebut kerap berlaku pada saya sehingga saya rasa takut untuk tidur. Terima kasih atas pencerahan.

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

1. Merujuk persoalan saudara, antara salah satu rukun mandi wajib adalah meratakan air ke seluruh badan termasuk kulit, kuku, bahagian pusat dan bulu-bulu yang ada pada tubuh badan badan. Maka wajib menghilangkan terlebih dahulu sebarang najis, bendasing atau kotoran yang dapat menghalang air dari sampai ke kulit. Walau bagaimanapun sekiranya  bendasing atau kotoran tersebut sukar untuk ditanggalkan secara sempurna setelah berusaha sedaya upaya menanggalkannya tanpa memudaratkan diri, seperti cat, gam, minyak atau sebagainya, maka ia dimaafkan. Saudara tidak perlu mengorek kuku tangan dan kaki yang pendek itu supaya air dapat memasuki celah kuku.Memadai dengan membasuh tangan serta kaki seperti biasa.

2. Cukup sekadar melalukan dan meratakan air ke muka dan mulut tanpa perlu membukanya. 

3. Terdapat beberapa jenis cecair yang mungkin keluar melalui saluran kencing lelaki iaitu air kencing, mazi, wadi dan air mani. Air kencing merupakan bahan kumuhan cecair semulajadi yang disingkir dari badan. Warna air kencing pada kebiasaannya kuning jernih. Air mazi merupakan cecair yang keluar sewaktu seseorang merasa terangsang atau berahi. Ciri-ciri air mazi adalah ia berwarna putih jernih, likat dan licin. Air wadi pula adalah cecair keruh dan pekat yang keluar sama ada selepas kencing atau ketika mengangkat sesuatu yang berat. Ia keluar setitis atau dua titisan sahaja. Manakala air mani adalah cecair yang keluar biasanya secara memancut dengan diiringi rasa lazat atau klimak. Antara ciri-cirinya adalah ia berwarna putih dan pekat, berbau hanyir seperti putih telur apabila kering. Kesemua air tersebut adalah najis melainkan air mani yang dianggap suci pada pandangan mazhab Syafii.

Berdasarkan kepada kenyataan yang saudara berikan, besar kemungkinan air tersebut adalah air kencing. Ini kerana saudara sendiri telah kenalpasti bahawa air itu seperti air biasa dan tidak melekit. Ia sama seperti ciri-ciri air kencing. Hukumnya adalah najis mutawassitah. Selain itu, air kencing boleh keluar walaupun sedikit-sedikit, tidak berwarna atau bau yang kuat. Saudara tidak perlu merasa was-was. Setiap kali ia keluar, basuh seperti membasuh air kencing seperti biasa. Walau bagaimanapun untuk kepastian, adalah disarankan agar saudara pergi menemui doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui perkara tersebut serta punca mengapa ia berlaku.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 143

message user image