Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Adakah menjadi kesalahan bagi seorang ketua jika kita cuba melindungi kesalahan kakitangan bawahan yang telah membuat dosa besar tetapi telah datang berjumpa dengan ketuanya mengaku tentang kesalahannya itu dan ingin bertaubat. Si ketua berniat hanya untuk membantu memberi peluang kepada anggota ini untuk berubah.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang yang cuba melindungi kesalahan orang lain semata-mata. Ini kerana setiap orang Islam yang baligh, mumaiyiz, berakal, dan waras adalah dipertanggungjawabkan ke atas diri masing-masing. Siapa yang melakukan dosa, mereka tidak menanggung dosa orang lain, melainkan dosa dirinya sendiri, Sebagaimana firman Allah SWT : Maksudnya : “Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)”. (al-Isra’: 15) Bagi setiap manusia yang melakukan kesalahan perlu mendapat hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya. Hasil daripada hukuman atau denda yang diterima dapat memberikan peluang kepada pesalah untuk berubah serta tidak mengulangi semula kesalahan yang dilakukan dan bertaubat atas kesalahan yang telah dilakukan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.