Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz tuan/puan..
Apa hukumnya jika seorang ibu telah berikan harta kepada anak lelaki kemudian ibu (belum meninggal) telah menjual harta tersebut?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Pada asasnya, dari segi syarak, hibah atau pemberian yang telah sempurna penerimaannya tidak boleh diminta kembali. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
العَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالعَائِدِ فِي قَيْئِهِ
Maksudnya: Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya. (Riwayat al-Bukhari).
Di dalam hadis yang lain daripada Ibnu Abbas RA juga bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«لَيْسَ لَنَا مَثَلُ السَّوْءِ، الَّذِي يَعُودُ فِي هِبَتِهِ كَالكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ»
Maksudnya: Tidaklah kami melakukan perbuatan buruk itu, iaitu mereka yang meminta semula hibah/ pemberian mereka (yang telah diberikan kepada orang lain) yang mana ia seperti anjing menelan semula muntahnya. (Riwayat al-Bukhari).
Walau bagaimanapun, seandainya pemberian itu dari seorang bapa kepada anaknya, maka bapa dibenarkan untuk mengambilnya semula atau meminta agar anaknya memulangkan semula hibah tersebut kepadanya. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«لَا يَحِلُّ لِلرَّجُلِ أَنْ يُعْطِيَ الْعَطِيَّةَ ثُمَّ يَرْجِعَ فِيهَا، إِلَّا الْوَالِدَ فِيمَا يُعْطِي وَلَدَهُ»
Maksudnya: Tidak halal (tidak dibenarkankan) seseorang yang memberikan satu pemberian kemudian mengambilnya kembali, kecuali bapa pada apa yang dia berikan kepada anaknya. (Riwayat Ibnu Majah).
Ini bermakna, bagi seorang bapa, harus baginya untuk mengambil atau meminta semula hibah yang diberikan kepada anaknya dengan syarat bahawa hibah tersebut masih lagi di dalam pemilikan anak. Seandainya pemberian tersebut telah bertukar hak milik seperti telah diberikan kepada orang lain, dijual atau musnah, maka tidak harus bagi bapa untuk memintanya semula. Hukum ini termasuk pemberian seorang ibu kepada anaknya.
والله أعلم بالصواب