Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam,
Saya ada pertanyaan mengenai Hutang Lapuk Kad Kredit. Saya pernah berhutang kad kredit lebih kurang 30 tahun yang lalu dengan jumlah pengunaan kad sekitar RM 8000.00 Kerana kurangnya kesedaran akan kepentingan membayar hutang di dalam Islam, saya mengabaikan pembayaran hutang tersebut.
Alhamdulillah, saya telah pun sedar dan berhasrat untuk membayar hutang tersebut tetapi pihak bank telah pun menyerahkan urusan hutang tersebut kepada agen pengutip hutang yang telah menambah jumlah keseluruhan termasuk bunga berjumlah RM 160,000.00 dan diluar kemampuan saya untuk membayar.
Menurut undang2 hutang lapuk di Malaysia, saya telah pun melepasi Akta Had Masa iaitu hutang selepas 6 tahun, pihak bank tidak boleh menuntut. Soalan saya :
1) Apakah pandangan Islam mengenai hutang lapuk yang menurut undang2 dunia sudah tidak boleh dituntut?
2) Boleh kah sekiranya saya menyerahkan RM 8000.00 tersebut kepada mana2 rumah anak yatim dengan niat untuk melunas kan hutang saya?
3) Perlukan saya membayar balik RM 160,000 termasuk bunga kepada mana2 rumah anak yatim atau cukur sekadar jumlah sebenar hutang?
Saya berharap pihak tuan/puan dapat membantu saya dalam kemusykilan ini.
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 282:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).
Dan dalam Surah al-Maidah ayat 1, Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ ۚ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.
Merujuk kepada persoalan tuan:
1. Tiada istilah hutang lapuk mengikut hukum syarak. Hutang tetap akan tertanggung dan wajib dibayar sehingga ia dilunaskan atau dimaafkan oleh yang memberi hutang tanpa terikat dengan tempoh masa tertentu.
Bersyukur kepada Allah SWT memberikan hidayah bagi melunaskan hutang yang dinyatakan. Dalam Islam konsep pelepasan hutang ini dinamakan ibra’ adalah termasuk dalam konsep al-sulh. Justeru, sekiranya pemberi hutang telah melepaskan tanggungjawab hutang daripada penerima hutang, maka penerima hutang tersebut dikira bebas dari melangsaikan hutang tersebut dan hutang tersebut telah dikira selesai. Terlebih dahulu ada baiknya pihak tuan mendapatkan pelepasan hutang secara rasmi dari pihak bank berkaitan hutang ini.
2 dan 3. Namun begitu, sekiranya Bank menafikan tentang ibra’ atau pembebasan hutang tersebut, pihak tuan boleh mengemukakan akta berkaitan had masa hutang tersebut kepada pihak bank. Sekiranya masih tidak diperakukan, jalan terbaik yang boleh difikirkan bagi melunaskan hutang tersebut adalah memadai tuan membayar RM8,000.00 merangkumi principal hutang dan menyerahkannya kepada pihak bank.
Sekiranya pihak bank tidak menerimanya melainkan perlu membayar penuh RM160,000.00, maka tuan boleh menyerahkan principal hutang RM8,000.00 kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri. Semoga usaha ini dapat menghindarkan diri dari dipersoalkan di akhirat kelak.
Rasulullah SAW juga bersabda:
أيُّما رجلٍ يَدَّينُ دَينًا وهو مجمعٌ أن لا يوفِّيه إيَّاه لقي اللهَ سارِقًا
Maksudnya: Sesiapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari Kiamat) sebagai seorang pencuri. (Riwayat Ibnu Majah)
والله أعلم بالصواب