Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan mufti,
Saya ada soalan tentang wudhu, saya mempunyai masalah selalu keluar air mazi tanpa dapat dikawal. Kebiasaannya saya akan meletakkan tisu pada seluar dalam dan menukarnya apabila ingin sembahyang. Masalah timbul apabila saya pergi ke negara barat terutamanya pada musim sejuk. Di sana tidak terdapat banyak masjid dan tandasnya pula kering tanpa air. Kadangkala saya akan berada di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai tandas awam. Kebiasaannya saya akan mengambil wudhu awal sebelum keluar rumah kerana kesukaran ini. Bolehkah saya bertaqlid dengan mazhab maliki tentang bab wudhu apabila saya berada di luar negara? Ianya dapat memudahkan saya kerana saya boleh mengambil wudhu sebelum masuknya waktu solat(sebelum keluar rumah) dan juga dapat jamak solat zohor dan asar menggunakan satu wudhu.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Ulama bersepakat bahawa air mazi adalah cairan dari kemaluan yang dikategorikan sebagai najis dan boleh membatalkan wuduk. Hatta jika seseorang yang sedang melakukan solat dan dapat merasai keluarnya air mazi, maka solatnya akan batal dan wajib membasuh kemaluanya dan mengambil wudhuk untuk mengulanginya semula solat tersebut.
Umum juga sedia maklum, bahawa mazi adalah najis yang biasanya akan keluar apabila seseorang terlalu banyak memikirkan soal seks atau perkara yang boleh meransang nafsu syahwatnya, faktor keletihan kerana berkerja keras atau disebabkan oleh penyakit.
Daripada pernyataan yang saudara berikan, saudara mungkin mengalami penyakit keluar mazi yang berterusan atau saudara memang seorang yang banyak keluar air mazi. Hukum kes saudara adalah seperti kes orang yang mengalami kencing berterusan.
Sekiranya mazi tidak putus-putus keluar pada setiap waktu dan DIYAKINI DENGAN SEBAB PENYAKIT, maka KETIKA MASUK WAKTU SOLAT, saudara hanya wajib membasuh kemaluan saudara, kemudian terus mengambil wuduk untuk solat fardhu. Solat saudara sah walaupun masih keluar air mazi ketika solat. Saudara boleh belajar untuk mengambil wuduk dengan cara yang paling ringkas dengan menggunakan air yang sedikit semasa berada di luar negara.
Namun, jika mazi saudara keluar sekali sekala, dengan maksud, ada masa keluar banyak dan ada masa seperti biasa atau tiada, maka lebih baik saudara mencari waktu yang sesuai untuk membasuh kemaluan dan mengambil wuduk untuk solat seperti biasa.
Kami nasihatkan agar saudara berjumpa dengan doktor perubatan untuk mendapat rawatan lanjut. Mudah-mudahan Allah SWT memberi kesembuhan kepada saudara.
والله أعلم بالصواب