BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Anak lelaki baru berkahwin dan duduk bersama keluarga mertua. Apakah mahram untuk anak lelaki dengan nenek si isteri? Perlukah nenek si isteri menutup aurat ketika mereka didalam rumah?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله و بركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Perkara pertama yang perlu difahami terlebih dahulu adalah pengertian mahram.

Mahram adalah seseorang lelaki yang diharamkan bagi seseorang perempuan untuk bernikah dengannya secara kekal seperti ayah, saudara lelaki, anak lelaki dan suami. Suami merupakan mahram kepada nenek isterinya berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 23:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ مِنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ 

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu.

Apa yang dimaksudkan dengan 'ibu-ibu isteri kamu' termasuklah ibu kepada ibu isteri, iaitu nenek kepada isteri. Apabila seorang lelaki mengahwini seorang perempuan, maka ibu serta nenek kepada isteri sama ada dari sebelah ibu atau sebelah bapa menjadi perempuan yang haram dinikahi secara kekal dengan sebab sahnya akad nikah tanpa disyaratkan berlakunya persetubuhan. Ini menjadikan lelaki tersebut mahram kepada mereka semua. Hubungan ini kekal walaupun lelaki itu telah menceraikan isterinya atau isterinya meninggal dunia. Ini bermakna aurat mereka seperti hubungan antara seorang ibu dengan anak lelakinya, boleh bersalaman dan tidak membatalkan wudhuk.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 174

message user image